Pihak polis akan menjalankan siasatan dalaman terhadap anggota polis peronda yang mengeluarkan saman terhadap individu yang tidak mempamerkan cukai jalan.

Merujuk kepada hantaran pengguna Facebook ‘Faiz Sulaiman’, yang mendakwa saman dikenakan terhadapnya di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata saman tersebut juga telah dibatalkan.

“Semakan pihak ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya mendapati saman tersebut telah dikeluarkan oleh anggota polis peronda pada 16 April atas kesalahan gagal mempamerkan cukai jalan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Petaling Jaya.

“Arahan telah dikeluarkan kepada petugas-petugas di lapangan untuk tidak mengeluarkan saman berkaitan kesalahan tidak mempamerkan lesen kenderaan motor sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan melalui yang berhormat menteri pengangkutan bertarikh 10 Feb 2023.

“Siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terlibat di atas kecuaian yang dilakukan. Pihak kami juga telah membuat pembatalan ke atas saman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

Sebelum ini, hantaran pemilik akaun berhubung saman yang dikenakan terhadapnya itu tular di media sosial, dengan berkongsi sekeping saman yang telah dikenakan ketika di lokasi kejadian.

Dia dan rata-rata warganet mempertikaikan tindakan anggota polis tersebut yang menggesanya untuk mempamerkan cukai jalan di keretanya, apabila ia boleh disemak secara dalam talian.

Pada 10 Feb lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) atau lebih dikenali sebagai pelekat ‘cukai jalan’, tidak lagi perlu dipamerkan pada kenderaan persendirian milik rakyat Malaysia.

Loke berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras JPJ.