Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) berjanji akan mengadakan audit berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.

Pengerusinya R Ramanan berkata jawatankuasa baru yang ditubuhkan itu akan meminta Jabatan Audit Negara membuat audit sebagai sebahagian daripada percubaan untuk membersihkan imejnya.

"Apabila audit telah selesai, barulah Mitra dapat membuat keputusan yang diperlukan (untuk melangkah ke hadapan).

"Tapi, saya berjanji tuhan pun tidak dapat selamatkan jika audit mendapati ada pihak yang bersalah," katanya di sidang media di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu hari ini.

Turut hadir, Senator Sivarraajh Chandran (MIC), Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau (DAP), Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran (PKR) dan Ketua Pengarah Mitra K Raveendran Nair.

Mitra, dilancarkan pada 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak, pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic). Penubuhannya bertujuan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic dibubarkan apabila kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 dan kemudiannya dihidupkan semula sebagai Mitra ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Selepas kerajaan PH tumbang, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan dakwaan salah guna peruntukan melibatkan beratus juta ringgit. Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, Mitra diletak semula di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta kepada Mitra melalui Belanjawan 2024.

Sementara itu, Ramanan yang juga ahli parlimen Sungai Buloh berkata keutamaan Mitra buat masa ini adalah memberi tumpuan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

"Adalah lebih baik kita memberi tumpuan kepada orang baik yang memerlukan bantuan kita. Kita mesti memikirkan rakyat miskin dan bergelut," katanya.

Katanya, Mitra memanjangkan tarikh sehingga 28 Mei 2023 bagi permohonan geran RM30 juta.