Laporan dakwa M'sia sedang usahakan perjanjian bawa balik Jho Low
Pegawai kerajaan Malaysia sedang mengusahakan perjanjian dengan China yang akan menyaksikan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho dihantar pulang ke Malaysia, menurut bekas wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope.
Dia mendakwa beberapa sumber berkata usaha itu sedang "didebatkan secara hangat" oleh kerajaan Malaysia susulan lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke China bulan lepas.
"Perjanjian sedemikian melibatkan penghapusan jelas mengenai penglibatan China dalam perjanjian yang distrukturkan oleh Jho Low untuk menutup penipuan 1MDB, percubaan China untuk menguatkan kerjaya politik Najib Razak (termasuk dalam sokongan tunai), menyusun semula projek Belt and Road Initiative di Malaysia untuk menjadi lebih ekonomi dan bermanfaat kepada keperluan infrastruktur Malaysia dan menyerahkan Jho Low (dan semua rampasan rompakannya).
"Ini akan menjadi sesuatu yang besar, menarik dan menandakan berakhirnya cerita utama skandal 1MDB - sejak penubuhannya pada 2009 hingga kejatuhannya akibat skandal pada 2015 dan segala pesta dan perbelanjaan yang tidak masuk akal sehingga 2023.
"Ini juga mungkin bermakna pemulihan tunai yang besar bagi Malaysia, kerana (Low) - menurut anggaran kami dan sumber yang telah mengikuti kes itu dengan rapat - masih mengawal simpanan tunai bernilai berbilion dolar," tulisnya.
Dakwaan itu diterbitkan dalam edisi buletin Whale Hunting hari ini, yang dikendalikannya bersama rakan wartawan Tom Wright.
Kedua-duanya adalah pengarang bersama buku Billion Dollar Whale yang mengupas mengenai peranan Low dalam skandal 1MDB.
China sebelum ini menafikan berkali-kali bahawa mereka memberikan perlindungan kepada Jho Low, tetapi laporan bahawa dia bersembunyi di negara itu masih berterusan.
Merumitkan keadaan, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China.
Hope menjelaskan bahawa perjanjian itu akan menjadi perjanjian yang "sensitif dan mencabar" bagi kedua-dua negara untuk menyelesaikannya.
“Saya hanya berspekulasi, tetapi saya bayangkan kedua-dua pihak mahu membuat pengumuman positif ini.
“China tidak mahu mempunyai apa-apa liputan tentang bagaimana program Belt and Road itu dipenuhi dengan rasuah dan percubaan untuk memanipulasi atau memaksa kerajaan berdaulat. Mereka tidak mahu sesiapa pun membincangkan Jho Low sebagai ejen perisikan Cina selama beberapa tahun.
“Malaysia mahu membaiki hubungannya dengan China, tetapi juga meminta kepulangan Jho Low dan mencapai syarat yang lebih munasabah dari segi ekonomi dengan China dalam projek Belt-and-Road.
“Dari satu segi, kedua-dua pihak tidak mahu Jho bercakap. Bagaimana mereka boleh menghalang perkara itu daripada berlaku?” katanya.
Hope mendakwa Low merupakan ejen perisikan China dan mengenali bekas perdana menteri Najib Razak dan keluarganya yang boleh dijadikan sebagai bahan ugutan.
Dia mendakwa China memanfaatkan perkara ini untuk meluaskan pengaruh dan keuntungannya di Malaysia dengan menggunakan Low untuk melobi projek infrastruktur, namun Low menjadi liabiliti kepada China selepas Najib kehilangan kuasa berikutan kekalahan pada pilihan raya umum 2018.
Low mendakwa dia tidak bersalah dalam skandal 1MDB.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/818f33fc43249ed74e5eeb233209f073.jpg)
