Sultan Johor terima menghadap Anwar
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Serene di Johor Bahru, petang semalam.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, dan juga Anwar Ibrahim dengan melampirkan beberapa foto mengenainya di platform media sosial masing-masing.
Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.
“Dalam sesi mengadap tersebut, saya telah persembahkan perkembangan terkini pembangunan negara serta negeri Johor Darul Ta'zim.
“Baginda Tuanku Sultan turut berkenan memandu sendiri menghantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” tulis Anwar.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/0e83472b0f0b921fccd63a9aacccdb2a.jpg)
