MB Sgor cabar pembangkang bukti beliau roboh kuil hindu
Pembangkang dicabar supaya membuktikan kerajaan negeri Selangor meruntuhkan kuil Hindu yang sah di negeri itu.
Pembangkang dicabar supaya membuktikan kerajaan negeri Selangor meruntuhkan kuil Hindu yang sah di negeri itu.
Cabaran tersebut dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam ceramah anjuran Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) di Batang Berjuntai semalam.
"Saya nak cabar mana kuil yang disahkan kerajaan yang saya runtuh...tidak ada. Ini (tuduhan) tidak adil," katanya dalam laporan Bernama.
Dr Mohd Khir berkata, parti pembangkang yang sedang berkempen dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok telah melemparkan pelbagai tohmahan kononnya beliau bertanggungjawab meruntuhkan kuil-kuil Hindu.
Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, Dr Mohamad Khir sebaliknya berkata, beliau telah memberi peruntukan kepada kuil-kuil di negeri ini yang sah bagi pembangunan dan pembesarannya.
"(Kita) kena ambil tindakan (hanya) bila kuil itu tidak sempurna (tidak sah atau tidak didaftarkan)," katanya.
Edar CD
Beliau berkata, ada pihak yang mengedarkan CD mengenai perkara ini dengan pelbagai tohmahan yang tidak berasas.
Beliau meminta pengundi agama Hindu khususnya agar tidak terpedaya dengan tohmahan tersebut.
Dr Mohd Khir juga berkata, beliau telah memberi tanah yang banyak dengan premium yang nominal untuk pembangunan kuil Hindu.
"Saya sebagai orang Islam mesti berlaku adil kepada bukan orang Islam. Saya tidak akan usik (kuil) tapi membantu kuil yang sah agar terus dibangun dan dibesarkan.
"Saya sayangkan orang India dan membela setiap masyarakat Selangor tanpa mengira bangsa atau agama," katanya lagi.

