Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai Sivakumar kembali bertugas, Bersatu desak SPRM dedah siasatan

Sayap Bersekutu Bersatu menggesa SPRM supaya mendedahkan status terkini siasatan terhadap dakwaan rasuah membabitkan dua pegawai kanan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Ini, kata ketua penerangan, sayap itu, S Subramaniam, susulan terlalu banyak spekulasi terhadap siasatan dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang dikatakan melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing dan konflik kepentingan.

"Kami meminta SPRM segera memberi satu penjelasan mengenai siasatan ini. Ini kerana terlalu banyak spekulasi dan kesimpulan berhubung kes ini. 

S Subramaniam

“Antaranya, dua pegawai kanan menteri yang disiasat sebelum ini, kini kembali bertugas selepas tamat tempoh reman.

"Adakah ini bermakna siasatan ini sudah selesai? Apakah kedua-dua pegawai itu sudah dibebaskan daripada siasatan? Penjelasan ini amat penting kerana sekiranya kedua-dua pegawai itu masih dalam siasatan, maka keputusan menteri untuk membenarkan mereka kembali bertugas kemungkinan akan mengganggu siasatan," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, susulan siasatan SPRM melibatkan pegawai kanannya.

Antara yang digantung tugas adalah perkhidmatan setiausaha sulit menteri dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK), yang ditahan SPRM. Sementara, pegawai ketiga yang digantung adalah seorang lagi pegawai PTTK yang tidak berkaitan dengan siasatan itu.

Gambar Hiasan - Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya

Carian Malaysiakini sebelum ini dalam sistem direktori kakitangan KSM menunjukkan nama ketiga-tiga pegawai tersebut telah dipadamkan.

Namun, carian semula pada Jumaat lalu mendapati nama ketiga-tiga pegawai tersebut sudah muncul semula dalam direktori kakitangan kementerian itu.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri untuk mendapatkan pengesahan.

Menurut Subramaniam, penjelasan SPRM amat penting untuk mengelakkan orang ramai atau netizen di media sosial membuat sebarang spekulasi.

"Kita semua tahu, dua pegawai digantung kerana terlibat dalam siasatan. Namun, ramai tidak tahu bahawa pegawai ketiga digantung merupakan anak kandung kepada setiausaha sulit.

"Setahu saya, tidak pernah dalam sejarah seorang ibu dan anaknya dilantik sebagai pegawai oleh mana-mana menteri. Ini yang kami gesa SPRM mendedahkan perkembangan siasatan ini.

"Saya hairan SPRM sehingga hari ini tidak membuat sebarang kenyataan berhubung siasatan ini. 

Gambar Hiasan - SPRM, Putrajaya

"Ketika siasatan hakim Nazlan dan kes pembekuan akaun bank Bersatu, mereka (SPRM) bersungguh-sungguh memberi kenyataan.Tapi, bila melibatkan menteri mereka mengambil sikap berdiam," katanya. 

Minggu lalu SPRM juga menahan tiga orang - dua daripada mereka adalah pegawai kanan menteri dan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak.

Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan selepas perintah reman mereka tamat.

Terdahulu SPRM memanggil Sivakumar dua kali berhubung siasatan berhubung kes kelulusan pekerja asing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS