‘Tingkatkan sikap kasih sayang dan pupuk semangat kebhinekaan’
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar sambutan Aidilfitri tahun ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan nilai kasih dan sayang.
Dia turut berharap semangat kepelbagaian yang dipupuk selama ini akan terus diterapkan dalam diri setiap rakyat dalam usaha mempererat silaturahim.
"Aidilfitri Mubarak kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
"Saya amat berharap sambutan Aidilfitri tahun ini, bersama kita tingkatkan sikap kasih dan sayang serta pupuk terus semangat kebhinekaan yang selama ini mengikat persaudaraan antara satu dengan yang lain sesama rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Anwar turut berkongsi video ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Dewan Santapan Utama, Istana Negara, bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Antara yang mencuri tumpuan adalah ketika Al-Sultan Abdullah secara spontan sudi menuang madu ke atas pinggan perdana menteri.

Majlis itu turut disertai antaranya oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri kabinet dan perwakilan asing di negara ini.
Kira-kira 2,000 hadirin yang terdiri daripada penjawat awam, pemimpin masyarakat serta komuniti Orang Asli turut memeriahkan majlis berkenaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/bbd07ee0c82aac3db0d11907abaa2872.jpg)
