Moscow bantah keputusan Jerman usir diplomat Russia
GLOBAL l Moscow membantah keputusan Jerman yang memutuskan untuk mengusir pekerja misi diplomatik Russia di negara itu, lapor Sputnik memetik kenyataan Kementerian Luar Russia pada Sabtu.
“Kerajaan Jerman telah membuat keputusan mengenai pengusiran besar-besaran pekerja misi diplomatik Russia di Jerman...Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Berlin itu yang boleh menggugat hubungan diplomatik Russia-Jerman," menurut kementerian itu.
Berikutan itu, Russia turut mengumumkan akan mengusir diplomat Jerman dan memutuskan untuk mengurangkan jumlah petugas misi Jerman di Russia.
“Duta Jerman ke Rusia Geza Andreas von Geyr telah dimaklumkan mengenai hal itu semasa perbincangan di Kementerian Luar Russia pada 5 April lalu," menurut kenyataan itu.
Menurut Russia, walaupun Jerman memberi jaminan bahawa pengusiran itu tidak akan dihebahkan, namun Berlin didakwa telah membocorkan maklumat kepada media.
Pada akhir Mac, media Jerman melaporkan bahawa Kementerian Luar Jerman merancang untuk mengusir lebih 30 diplomat Russia.
Sebelum ini, pada April 2022, Menteri Luar Jerman Annalena Baebock mengisytiharkan 40 diplomat Russia sebagai persona non grata manakala Russia pula mengusir 40 diplomat Jerman.
- Bernama-Sputnik
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/04/5fd5e1817a6fe8c8011fcc792894489e.jpg)
