Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak tahu protokol ke Pak Menteri, sindir isteri bekas menteri
Diterbitkan:  Apr 23, 2023 2:24 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi sasaran oleh seorang isteri bekas menteri kabinet kerana membawa anak-anaknya ke majlis ramah mesra Aidilfitri di Istana Negara,  semalam.

Perkara itu dibangkitkan oleh Norlin Shamsul Bahri, isteri bekas menteri luar Saifuddin Abdullah yang kini adalah ahli politik Bersatu dan pernah  berkhidmat bersama Umno dan PKR.

"Wah majlis rasmi bawa anak beranak ke istana negara.. tak tahu protokol ke pak menteri?” tulis Norlin sebagai mengulas gambar yang dimuatnaik oleh Nik Nazmi di akaun Instagramnya.

Menjawab sindiran itu, Nik Nazmi menulis bahawa dia sekadar memenuhi jemputan.

"Jemputan dari istana untuk bawa isteri, anak dan cucu.

"Tapi, saya tiada cucu, jadi bawa anak dan isteri," balasnya.

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Dewan Santapan Utama, Istana Negara, adalah bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang, antara lain, termasuk beberapa menteri kabinet, perwakilan asing, dan tokoh terkenal daripada komuniti perniagaan.

Ada di kalangan warga maya yang kemudiannya memaklumkan kepada Norlin bahawa gambar-gambar di laman Facebook Istana Negara menunjukkan terdapat juga ramai kanak-kanak lain pada majlis berkenaan.

Wartawan yang menerima jemputan tersebut juga mengesahkan bahawa anak-anak mereka turut dijemput.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS