Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim bandingkan cadangan pusat kasino di Sarawak dengan di Timur Tengah
Diterbitkan:  Apr 24, 2023 2:40 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Ketika ahli politik bertelagah berhubung cadangan pembinaan sebuah lagi pusat perjudian di Sarawak, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang merujuk beberapa kasino yang dibina di negara-negara di asia Barat.

Dalam kenyataan media hari ini, Lim berkata bahawa dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa Lubnan dan Mesir mempunyai kasino - sementara sebuah kasino mewah sedang dalam pembinaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, pusat kasino baru di Ras al Khaimah di UAE itu bakal menjadi antara daripada 10 kasino terbesar di dunia apabila ia dirasmikan pada 2026.

Mesir, katanya, mempunyai kira-kira sedozen kasino, termasuk sebuah yang dikendalikan oleh Genting Casinos Egypt Ltd yang diperbadankan di UK.

Lim membuat pemerhatian ini susulan kenyataan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah yang memberitahu PAS bahawa  "Sarawak bukan hanya untuk orang Islam sahaja".

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan bahawa Malaysia adalah negara anggota dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mana satu pertiga daripada penduduknya adalah bukan Islam.

"Malaysia berada pada kedudukan yang baik... untuk menjadi contoh kepada dunia untuk dialog antara etnik, agama, budaya dan antara peradaban, persefahaman, toleransi dan keharmonian.

"Adakah rakyat Malaysia dan semua parti politik bersetuju dan adakah parlimen bersedia untuk menggerakkan usul pada persidangan Mei-Jun untuk mengangkat objektif ini menjadi misi kebangsaan?" soal Lim.

Perbincangan mengenai pembukaan sebuah kasino di Sarawak timbul pada Mac lalu susulan kejayaan kerajaan negeri mengambil alih semula tanah yang dimaksudkan untuk projek pusat peranginan Borneo Highlands.

Setakat ini, kerajaan belum memberikan sebarang komitmen berhubung dengan projek kasino itu tetapi cadangan berkenaan telah mengundang bantahan daripada PAS Sarawak, yang mendakwa bahawa kasino tersebut boleh menyebabkan keruntuhan sesebuah masyarakat.

Abdul Karim menolak kebimbangan PAS Sarawak semalam, dengan berkata, alasan parti itu seolah-olah menutup mata terhadap bentuk perjudian lain di Sarawak, seperti kedai-kedai nombor ramalan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS