Pihak pengurusan TV3 dan kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital diminta bersikap "jujur" dalam isu pembatalan siaran takbir hari raya PN yang dijadual disiarkan oleh stesen tersebut pada 21 April lalu.

Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata sebagai sebuah stesen dikenali ramai pembatalan sebegitu tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

Katanya pembatalan siaran berkenaan - yang dibayar parti terbabit - hanya dimaklumkan melalui e-mel yang dihantar kira-kira lima minit sebelum takbir berkenaan dijadual disiarkan pada jam 10.20 malam.

"Meskipun dalam e-mel yang dihantar kira-kira lima minit sebelum takbir berkenaan dijadual disiarkan, pihak TV3 memberitahu langkah itu terpaksa diambil kerana masalah teknikal sekali gus berjanji akan memulangkan bayaran yang dibuat oleh PN sebelum itu, namun sebagai sebuah televisyen ternama dan veteran dalam dunia penyiaran negara, PN beranggapan insiden itu tidak harus berlaku sama sekali.

"Malah alasan masalah teknikal sebagai punca pembatalannya juga amatlah janggal dan tidak boleh diterima.

"Justeru PN mendesak pihak pengurusan TV3 dan juga kerajaan pusat, terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital supaya bersikap jujur dalam isu ini, sekali gus menafikan berlakunya campur tangan politik untuk mensabotaj siaran takbir berkenaan atas apa-apa tujuan sekali pun," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan slot takbir raya PN selama lima minit yang dijadualkan untuk siaran di TV3 dibatalkan.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal membuat ciapan di Twitter mengenai perkara itu pada hari berkenaan.

“TV3 batalkan walaupun kami dah bayar untuk siaran. Adalah tu yang mengarahkan,” dakwanya.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal lagi, siaran takbir raya itu dibatalkan pada saat terakhir.

"Jam 10:11 malam baru dimaklumkan melalui emel," kata ahli parlimen Machang itu pada ciapan di Twitter.

Sementara itu Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan integriti TV3 dan Kementerian Komunikasi dan Digital sangat bergantung kepada kesediaannya untuk bersikap telus dan profesional, terutama dalam menghormati kontrak dan janji yang dibuat secara sah dan formal.