Pemuda PAS dakwa Kementerian Mustapa seleweng dana awam
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) mendakwa Kementerian Pengajian Tinggi telah menyeleweng peruntukan awam apabila menubuhkan Jawatankuasa Pemantau IPTA untuk mengesan mahasiswa yang menyokong pembangkang dalam pilihanraya kecil Machap dan Ijok.
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) mendakwa Kementerian Pengajian Tinggi telah menyeleweng peruntukan awam apabila menubuhkan Jawatankuasa Pemantau IPTA untuk mengesan mahasiswa yang menyokong pembangkang dalam pilihanraya kecil Machap dan Ijok.
Pengarah Jabatan Pembangunan Mahasiswa DPP, Abdullah Abdul Karim berkata, satu dokumen mengenai penubuhan jawatankuasa tersebut semasa pilihanraya kecil Machap, telah didedahkan dalam media alternatif mengenai penubuhan jawa
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi yang diterajui oleh Datuk Mustapa Mohamed masih meneruskan pemantau tersebut bagi mengesan mahasiswa yang membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya kecil Ijok.
Abdullah mendakwa, selain memantau pembabitan mahasiswa yang menyokona pembangkang, pada masa yang sama, jawatankuasa tersebut menyusun gerak kerja kakitangan IPTA dan mahasiswa prokerajaan bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN).
"Dengan menyelewengkan peruntukan dana awam yang diperolehi dari rakyat Malaysia (pembayar cukai), jawatankuasa ini menjadikan Kampus UNISEL di Batang Berjuntai sebagai bilik gerakan utamanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menurut maklumat yang perolehi pihaknya, semua IPTA diarahkan menghantar petugas mengikut giliran untuk meronda di seluruh kawasan pilihanraya sepanjang masa kempen hingga ke hari pembuangan undi.
"Pasukan petugas tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti kamera digital, perakam video dan bertugas menaiki kenderaan rasmi IPTA di mana segala perbelanjaannya, termasuk penginapan dan makan minum, ditanggung sepenuhnya," katanya.
Sasaran utama
Modus operandi jawatankuasa ini, tambahnya, ialah dengan menjadikan siri-siri ceramah dan kempen serta menjadikan bilik gerakan pilihanraya PKR sebagai sasaran utama intipan untuk mencari sekiranya ada pelajar IPTA yang turut serta.
"Bahkan sekiranya disyaki ada pelajar yang berada di sekitar pekan, taman perumahan dan kawasan estet dan kampung sekalipun, jawatankuasa ini akan mengekori pergerakan mereka untuk memantau sama ada mereka membantu merayu undi untuk calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya.
Semalam, kata Abdullah, sekumpulan kira-kira 15 pelajar progresif dari Gerakan Demokratik Pemuda dan Mahasiwa Malaysia (DEMA) dan Youth For Change (Y4C) juga diekori dan gambar mereka diambil semasa berada di sekitar pekan Ijok dan dipercayai akan dikenakan tindakan tatatertib oleh universiti masing-masing.
Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda PAS sekali lagi mendesak Mustapa supaya membubarkan segera jawatankuasa tersebut dengan menutup bilik gerakan dan memanggil semua petugas dari IPTA kembali di kampus masing-masing.
"Mustapa juga mesti memberi penjelasan kepada Parlimen tentang hal ini dan mendedahkan berapakah peruntukan wang yang sudah dihabiskan untuk membiayai jawatankuasa ini," katanya.
Abdullah berkata, jawatankuasa tersebut bukan sahaja 'haram' dari segi moral, bahkan tindakannya juga bercanggah dengan undang-undang dan mencabul peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak samarata di sisi undang-undang dan kebebasan berpolitik kepada seluruh warganegara, termasuk pelajar.
"Dengan hanya menumpukan intipan kepada pelajar yang menyokong pembangkang dengan mengambil tindakan tatatertib kepada mereka, ianya jelas berlawanan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, disebabkan diskriminasi dalam melaksanakan undang-undang.
Larangan Auku
"Sedangkan pada masa yang sama, jawatankuasa ini, jika berdasarkan dokumen yang telah didedahkan, tidak langsung menjadikan pelajar yang berkempen untuk BN sebagai sasaran.
"Seksyen 15 (1) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 jelas memperuntukkan bahawa pelajar universiti dilarang untuk terlibat dengan mana-mana parti politik sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang," katanya.
DPP juga, kata Abdullah, menyeru kepada pelajar IPTA yang turun memberikan sokongan dan bantuan kepada PKR di Ijok dan pelajar yang berhasrat membantu Barisan Alternatif (BA) dalam pilihanraya umum nanti, agar jangan gentar dan takut dengan jawatankuasa pemantau tersebut.
Katanya, DPP khususnya dan Pemuda BA amnya akan menyediakan khidmat guaman bagi membela pelajar yang dihadapkan ke perbicaraan tatatertib pihak universiti.
Pihak pengurusan universiti terbabit juga, tambahnya, akan diheret ke mahkamah kerana melakukan diskriminasi dalam melaksanakan undang-undang.

