Satu konvensyen anjuran Majlis Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 14 Mei.

Dalam satu kenyataan, majlis itu berkata konvensyen wanita itu akan memberi tumpuan kepada memperkasakan pemimpin wanita dan meningkatkan kesedaran tentang peranan penting mereka dalam masa depan Malaysia.

Ia juga merupakan sebahagian daripada konvensyen nasional yang diketuai oleh kerajaan gabungan, yang akan diadakan pada hari yang sama dan di tempat yang sama.

"Konvensyen Wanita Perpaduan akan turut menggunakan tema yang sama iaitu 'Malaysia Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia' dengan memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan Negara Bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani.

"Majlis Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan berharap, melalui konvensyen ini, ianya dapat memperkukuh agenda kerajaan perpaduan di bawah teraju Malaysia Madani," kata majlis itu.

Ahli majlis terdiri daripada pemimpin wanita daripada semua parti di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengumuman konvensyen itu dibuat selepas mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dan senator Amanah Raj Munni Sabu, pagi tadi.

Matlamat mesyuarat itu adalah untuk mengukuhkan kerjasama dan membina rangkaian kerja wanita di seluruh pentadbiran.

Pada 22 Mac, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata konvensyen kebangsaan yang akan dihadiri oleh 20 parti di bawah kerajaan campuran itu adalah untuk menunjukkan solidariti terhadap kepimpinan Anwar.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata satu konvensyen melibatkan parti dalam kerajaan akan diadakan bagi menentukan hala tuju dan tindakan bersama dalam pentadbiran negara.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata konvensyen itu juga bertujuan merangka pemikiran dan dasar yang sama dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan.