Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) mengeluarkan rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) bagi menyokong dakwaan bahawa kaunter jaminan kompleks mahkamah Kuala Lumpur tidak ditutup awal pada Khamis, 20 April.

“Merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabat ini bertarikh 23 April 2023.

"Untuk mengesahkan penjelasan di dalam kenyataan media tersebut, bersama-sama ini dikemukakan rakaman litar tertutup yang menunjukkan bahawa pada 20 April 2023, kaunter ikat jamin di Mahkamah Kuala Lumpur (yang terletak bertentangan dengan mesin ATM Maybank) masih beroperasi dan orang awam masih berurusan sehingga jam 4.00 petang," kata kenyataan itu.

Dalam rakaman itu, orang awam boleh dilihat keluar masuk ke di premis pejabat berkenaan.

Perkembangan ini hadir selepas Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa pendedahan rakaman CCTV bagi membuktikan dakwaan ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan.

“Rakaman itu penting untuk membuktikan kakitangan kaunter jaminan tidak melakukan kesalahan,” kata Lim yang juga seorang peguam.

Dalam maklum balas segera, Lim memuji langkah Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah itu.

“Jabatan kerajaan lain juga perlu memasang CCTV di kaunter barisan hadapan untuk kes seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pejabat Ketua Pendaftar itu sebelum ini menafikan dakwaan enam individu tidak boleh membayar ikat jamin kerana kaunter jaminan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur ditutup pada 2.53 petang Khamis lalu dan bukannya 4 petang seperti yang dijadualkan.

Memandangkan ia adalah hujung minggu yang panjang, keenam-enam mereka ditahan dari hari Jumaat hingga Ahad. Ikat jamin akhirnya diproses pada hari Isnin, yang kebetulan merupakan hari pelepasan am.

Menurut pejabat ketua pendaftar, jaminan sepatutnya diaturkan untuk 10 individu pada Jumaat lalu, bagaimanapun penjamin keenam-enam itu tidak hadir.

Pejabat ketua pendaftar berkata kehadiran penjamin untuk memproses jaminan bagi tertuduh adalah sebahagian daripada prosedur yang mesti dipatuhi kerana kehadiran mereka membolehkan mahkamah mengetahui identiti penjamin yang bertanggungjawab.