Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 cedera kereta terbabas lepas cuba lari dari polis

Empat individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ketika cuba melarikan diri daripada polis di susur keluar Putra Heights, Lebuhraya Elite awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata kejadian berlaku pada jam 1.05 pagi apabila kereta peronda yang sedang melakukan rondaan berkala di sekitar USJ terserempak dengan sebuah Proton Satria yang dalam keadaan mencurigakan.

“Polis telah mengekori kenderaan itu, membunyikan siren serta menyalakan lampu biru untuk mengarahkan suspek supaya berhenti bagi tujuan pemeriksaan namun mereka sebaliknya melarikan diri sehingga melanggar palang Plaza Tol Seafield.

“Sebaik tiba di persimpangan Exit 605 Putra Height, kenderaan itu membelok secara agresif dan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu dinaiki dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa yang berusia 30-an, serta seorang kanak-kanak lelaki.

Menurutnya kesemua orang dewasa terbabit mengalami kecederaan parah manakala kanak-kanak itu pula hanya cedera ringan. Mereka kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.

Kata Wan Azlan siasatan awal mendapati kenderaan terbabit sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan Shah Alam dan dipercayai menjadi punca suspek melarikan diri daripada polis.

“Bagaimanapun, kesemua suspek (dewasa) yang mempunyai rekod jenayah lampau dengan seorang daripada mereka dikehendaki dalam kes dadah di daerah Hulu Selangor masih belum ditahan kerana sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Wan Azlan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta memandu secara gopoh di jalan awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil memberi kerjasama dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7100,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS