Aksi 'wheelie' bawa pasangan muda ke lokap
Sepasang suami isteri ditahan polis apabila mereka hadir menyerah diri dua hari selepas dicari pihak berkuasa kerana disyaki menunggang motosikal secara berbahaya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata suspek lelaki berusia 17 tahun manakala pasangannya berusia 16 tahun.
Katanya mereka ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi sebelum ditahan di lokap polis untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi mendapatkan keizinan reman.
"Siasatan lanjut akan diteruskan untuk pendakwaan bersama mengikut peruntukan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan mereka dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000," katanya dalam kenyataan har ini.
Terdahulu tular rakaman video pendek menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal secara laju dan berbahaya. Di belakangnya pula ada seorang wanita.
Polis kemudian mengeluarkan kenyataan awam untuk mencari dan mengesan pasangan terbabit.
Kata Mohd Rosdi tangkapan hari ini dibuat Bahagian Siastaan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Menurutnya pasangan terbabit disyaki terlibat dalam aksi menunggang motosikal yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain di jalan raya.
"Polis menggesa orang ramai mematuhi undang-undang di Malaysia.
"Kegiatan tidak bermoral seperti itu perlu dihentikan serta-merta kerana ia membahayakan diri sendiri dan orang lain, serta mengganggu ketenteraman awam," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/18ba3ed0a9c59dfcb80051ecd681bd5b.jpg)
