Seorang pemimpin sayap wanita PKR mencadangkan kerajaan memasang 'butang panik' secara percuma di rumah-rumah warga emas yang tinggal bersendirian.

Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Wanita PKR Loh Ker Chean melontarkan cadangan itu susulan insiden melibatkan seorang warga emas yang ditemui meninggal dunia di rumahnya yang berkunci di Muar pada 25 April yang lalu.

"Saya berasa amat kesal dengan insiden melibatkan seorang warga emas yang ditemui meninggal dunia di rumahnya yang berkunci di Muar. Mereka ini mungkin boleh diselamatkan dan hidup lebih lama jika menerima perhatian dan bantuan kecemasan segera.

"Bagi mengelak insiden sebegini pada masa akan datang, kerajaan boleh menggalakkan dan membantu pemasangan atau penggunaan ‘butang panik’ di rumah-rumah warga emas yang tinggal bersendirian secara percuma.

"Butang panik ini yang boleh dipasang di dinding atau dipakai oleh warga emas berfungsi untuk menghubungi pihak polis dengan segera apabila seseorang warga emas memerlukan bantuan kecemasan," katanya.

Pada 25 April dilaporkan seorang lelaki berusia 75 tahun tinggal berseorangan ditemukan meninggal dunia di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata bahawa mayat ditemukan di katil dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam lalu.

Polis menerima aduan selepas seorang ahli keluarga cuba menghubungi bapa saudaranya itu sejak beberapa hari sebelum itu namun gagal.

Susulan itu, dia bergegas menziarahinya namun terhidu bau kurang menyenangkan sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Loh juga mencadangkan bahawa komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan boleh mengumpulkan data warga emas yang tinggal secara bersendirian dan memeriksa keadaan mereka dari masa ke masa melalui panggilan telefon atau ziarah secara fizikal secara berkala.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi warga emas dalam negara diunjurkan semakin meningkat sehingga Malaysia menjadi sebuah negara tua pada 2030.

"Menjelang 2030, 15 peratus daripada jumlah penduduk negara dianggarkan berumur 60 tahun ke atas.

"Oleh itu, dasar kerajaan pada semua peringkat, sama ada pada peringkat kerajaan tempatan, negeri atau persekutuan harus memberikan tumpuan utama kepada aspek kebajikan golongan warga emas yang hidup bersendirian.

"Kerajaan persekutuan juga perlu mengukuhkan sistem sokongan penjagaan kesihatan dan kebajikan yang holistik dan berpatutan secara dalam komuniti untuk keperluan golongan warga emas," katanya.