Annuar sedia sertai parti baru lepas Aidilfitri
Selepas berehat sebentar dari arena politik, bekas ahli parlimen Ketereh Annuar Musa mendedahkan bahawa dia akan memilih dan menyertai parti "yang berhaluan baik" apabila dia membuat kemunculan semula selepas Aidilfitri.
Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan butiran mengenai parti politik pilihannya.
Annuar dipetik sebagai berkata hari ini oleh Sinar Harian bahawa dia akan menumpukan kepada "berhaluan ke arah keharmonian dan yang lebih baik".
"Parti mana-mana itu, kita lihat sehari dua lagi. Sekarang masih dalam suasana raya, kalau boleh politik kita kurangkan dulu, tumpu berhari raya,” katanya seperti dilapor selepas ditemui media di rumah terbuka Aidifitri PAS Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Bekas setiausaha agung Umno itu dilaporkan berkata dia sekadar memenuhi jemputan yang dihulurkan kerajaan negeri Kelantan.
“Kita semua bersahabat, jadi musim raya ini dapat bersama-sama. Ini bukan yang pertama saya hadir, tahun lalu di Pengkalan Chepa pun saya hadir.
“Saya pergi semua majlis Aidilfitri dan semalam di rumah Ahli Parlimen Ketereh, (Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor),” katanya.
Bekas menteri itu juga menegaskan bahawa dia tidak pernah bersara daripada politik dan menegaskan dia hanya berehat selama beberapa bulan.
“Saya belum pencen, saya hanya dibuang daripada daripada Umno saja.
“Saya aktif cuma dua tiga bulan yang lepas itu ambil peluang untuk tumpukan kepada hal peribadi, ibadat, diri sendiri dan tak banyak bercakap. Hal parti saya tidak bersara dan insya-Allah akan kembali aktif selepas ini,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau akan menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang akan diadakan di Kelantan pada 12 Mei ini, Annuar berkata dia belum menerima jemputan setakat ini.
Namun, katanya, dia akan hadir sekiranya ada jemputan dan kelapangan.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Annuar bersedia untuk menyertai PAS bagi meneruskan kerjaya politiknya selepas pilihan raya umum ke-15.
Menurut sumber, presiden NGO Muafakat Nasional itu telah mengisi borang keahlian PAS dan pengumuman itu dijangka dibuat selepas Aidilfitri.
Annuar dipecat daripada Umno Disember lalu selepas sebelum ini dipecat daripada jawatannya sebagai setiausaha agung BN kerana disifatkan "terlalu rapat dengan Bersatu".
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/866b2649beac2731eb6fff9bb4072d1a.jpg)
