Kementerian Penerangan akan menubuhkan bahagian media siber tidak lama lagi bagi memantau maklumat dalam internet, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Chia Kwang Chye.

Katanya, langkah itu diambil memandangkan Internet, sebagai alat komunikasi yang kuat, disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk menyebarkan maklumat salah mengenai perkara kepentingan nasional.

"Unit khas ini semata-mata untuk menyebar, menerangkan maklumat betul dan memantau maklumat salah mengenai dasar kerajaan untuk orang ramai.

"Kita sedang memuktamadkan bahagian pentadbirannya dan ia akan berkuatkuasa tidak lama lagi," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Bernama, sebelum itu Chia menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Open University Malaysia (OUM) dan Institut Pembangunan Komunikasi Asia (Aidcom) untuk program Diploma Pembangunan Komunikasi bagi orang dewasa yang bekerja di OUM.

Menurut Chia, unit itu akan juga mengkaji untuk memperbetulkan maklumat salah terhadap kepentingan nasional yang ditulis dalam domain tempatan dan antarabangsa yang berdaftar.

Beliau bagaimanapun berkata unit itu tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap penulis blog yang tidak bertanggungjawab.

"Peranan kita bukanlah untuk mengambil tindakan terhadap mereka, tetapi ia untuk memberikan orang ramai maklumat yang betul dan lebih baik melalui Internet," tambah beliau.