Negara akan kembali menjadi tidak stabil sekiranya kerajaan hari ini di bawah pemerintahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim digulingkan.

Setiausaha politik perdana menteri, Azman Abidin berkata demikian mengulas tentang desas-desus pertukaran kerajaan dan hantaran teka-teki pemimpin Bersatu Muhammad Faiz Na'aman yang seolah olah bermaksud PN telah mempunyai 126 sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

"Negara ini tidak mampu lagi dengan keadaan politik yang tidak stabil seperti Kerajaan Prihatin (pentadbiran Muhyiddin Yassin) dan kerajaan Keluarga Malaysia (pentadbiran Ismail Sabri) terdahulu.

"Negara akan menjadi kucar-kacir, ekonomi negara akan musnah, kepercayaan pelabur tiada lagi, matawang negara akan jatuh, pasaran saham merudum dan semangat bekerja kakitangan awam akan hilang kerana hala tuju pentadbiran negara yang tidak menentu.

"Sudah sudahlah tu. Rakyat dah bosan. Tunggulah lima tahun lagi. Bagi lah kami buat kerja dulu, nanti bertarunglah semula. Biar rakyat tentukan nanti di PRU16. Rakyat dah penat. Rakyat tak berminat lagi langkah-langkah politik jahat seperti dulu," katanya kepada Malaysiakini.

Muhyiddin terpaksa meletak jawatan selepas 17 bulan pada Ogos 2021 manakala Ismail Sabri membubarkan Parlimen selepas 15 bulan menerajui kerajaan.

Desas-desus mengenai pertukaran kerajaan - atau perdana menteri - mula kedengaran selepas dimainkan sesetengah pihak khususnya selepas PH terpaksa bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan pada tahun lalu.

Walaupun memiliki kerusi terbanyak hasil PRU ke-15 yang diadakan pada 19 Nov 2022, ia belum mencukupi untuk PH yang diketuai Anwar untuk membentuk kerajaan kerana gagal mendapat majoriti.

Ia mendorong kerjasama dibina di antara PH dan BN di sebalik perseteruan yang panjang di antara kedua-dua parti. Ia kemudian disertai gabungan parti dari Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun akhir-akhir ini khabar angin itu disemarakkan lagi dengan pelbagai cara. Misalnya hantaran berteka-teki Faiz Na'aman baru-baru ini.

"Wartawan tanya pasal 126 tu. Saya sebut maaf tiada komen. Just wait & see (Hanya tunggu dan lihat). Saya juga tak pernah cakap itu nombor apa, kan?

"Tapi dulu Anwar (Ibrahim) pun selalu sebut. I have the numbers (saya ada angka)," kata Faiz berhubung hantaran di Facebooknya.

Sementara itu, Azman menasihati Faiz Na'aman bahawa pihak yang berhasrat menukar kerajaan perlu melihat kepentingan rakyat dan negara terlebih dahulu, bukan kepentingan diri dan kelompok mereka.

"Tujuan mereka memainkan isu seperti adalah kerana tahap sokongan rakyat dan penyokong mereka semakin pudar jadi mereka ingin memberikan harapan baru kepada penyokong mereka yang dah hilang semangat.

"Jadi dengan cara ini mereka boleh memberikan harapan baru kepada penyokong terutama menjelang PRN di enam negeri nanti.

"Yang lebih merunsingkan pembangkang adalah kerana tahap sokongan rakyat kepada gagasan Malaysia Madani dan Anwar semakin meningkat dan mula diterima oleh rakyat," katanya.