Kit Siang tuntut komitmen PN terhadap titah raja-raja Melayu
Dua pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) diseru memberikan komitmen untuk tidak menggugat kestabilan kerajaan dalam penggal ini, selari dengan titah raja-raja Melayu.
Veteran DAP Lim Kit Siang menyeru Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengisytiharkan parti itu tidak terlibat dalam apa-apa rancangan untuk menumbangkan kerajaan untuk tempoh lima tahun.
“Perkara ini menjadi satu ujian, sama ada para pemimpin dan ahli-ahli politik bersedia untuk mengetepikan kepentingan peribadi mereka dan kepentingan parti mereka demi kepentingan negara,” katanya.
Pemerintah Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kelmarin bertitah menyeru ke arah kestabilan politik selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini?” titah baginda di Facebook.
Dalam kenyataan hari ini, Kit Siang juga mengingatkan bahawa titah sama pernah dikeluarkan oleh Yang di Pertuan Agong semasa istiadat pembukaan oarlimen ke-15 pada Februari lepas.
Begitu juga dengan sultan-sultan lain, katanya.
Bagaimanapun, kata Lim, ia diabaikan sepanjang tiga bulan lepas.
Sebelum ini pemimpin kanan Bersatu Muhammad Faiz Na'aman menimbulkan teka-teki dan spekulasi susulan statusnya berkaitan angka 126 namun tidak menghuraikan lanjut.
Hari ini dia sekali lagi membangkitkan perkara persoalan berkaitan sokongan majoriti kerajaan dalam parlimen.
“Betul ke sudah tiada majoriti? Selama mana mampu bertahan guna nama istana?” tulisnya di Facebook.
Setakat ini tidak pasti asas dakwaan itu.
Kerajaan sedia ada dibentuk dengan dengan sokongan 82 anggota parlimen Pakatan Harapan (PH), BN (30 kerusi), GPS (23 kerusi), GRS (enam kerusi), Warisan (tiga kerusi) dan selebihnya dari Parti Bangsa Malaysia (PBM), bebas dan KDM.
BN juga baru-baru ini menegaskan kerajaan stabil dengan sokongan majoriti 148 daripada 222 anggota parlimen.
Terdapat juga Akta Antilompat Parti yang menghalang ahli parlimen melompat parti, melainkan dia meletakkan jawatan dan diadakan pilihan raya kecil.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/01/2131626a1ff46761a638585b4af91d5d.jpg)
