Pemuda Umno optimis kerjasama dijalinkan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menimbulkan pandangan sinis golongan muda dalam berdepan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kerjasama Umno dengan PH khususnya parti DAP berbeza situasinya berbanding kerjasama Bersatu dengan DAP.

"Saya rasa tidak begitu (dipandang sinis). Hari ini orang mungkin cakap kenapa Umno duduk dengan DAP. Tapi saya hendak tanya parti mana yang tidak pernah duduk dengan DAP?

Akmal Saleh

"Jadi bezanya, adalah apabila Umno bersama DAP, ia tidak agresif sebagaimana DAP bersama Bersatu dahulu.

“Apabila DAP bersama Bersatu dahulu timbul pelbagai isu dan masalah. Tetapi, Umno dengan DAP, kita lihat masalah ini kurang. Jadi, ini yang penting," katanya seperti dilaporkan melalui wawancara bersama Utusan Malaysia.

Dia berkata demikian ketika ditanya apakah kerjasama antara Umno dan PH yang membentuk kerajaan perpaduan menyebabkan orang muda memandang sinis kepada parti itu pada PRN nanti.

Sementara itu anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu menegaskan pihak yang berpandangan sinis itu hanyalah orang parti sahaja sama ada orang Umno sendiri atau PAS.

"Sentimen itu timbul sebab kononnya Umno tidak boleh bersama DAP dan PKR. Walhal mereka dulu pun sama.

"Rakyat di luar sana tidak pandang soal penggabungan Umno dan DAP ini sebagai satu isu. Sebab, kalau mereka pandang Umno tidak boleh bersama DAP, mana mungkin DAP boleh dapat undi orang Melayu. Rakyat mahu melihat adakah kerajaan yang ada hari ini boleh bawa suara mereka.

"Lagipun, rakyat sudah muak dengan kerenah politik. Jadi, kali ini saya percaya Umno bersama PH membawa agenda sama, kurangkan politik dan bawa suara rakyat," kata Muhamad Akmal dipetik sebagai berkata.