Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Saifuddin Abdullah meminta soalan berkaitan desas-desus pertukaran kerajaan Persekutuan ditanyakan terus kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini kerana katanya, perkara itu hanya dibangkitkan oleh presiden PKR berkenaan, selain menjadi bualan dalam kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini.

"Dari mana kita dapat dengar cerita berkaitan dengan 'ada angka' atau 'ada langkah-langkah' tertentu ini?

"Setahu saya kita dengar ini daripada dua sumber, yang pertama ialah daripada perdana menteri, dia yang sebut dan yang kedua kalau kita pergi mana-mana pun rakyat sebut soalan ini.

"Jadi itulah komen saya (buat masa ini), kena tanya perdana menteri dari mana dia dengar dan kenapa rakyat bercakap soal ini," katanya yang juga ahli parlimen Indera Mahkota dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Isu mengenai pertukaran kerajaan mula kedengaran sejak awal penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRU15, Disember lalu.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang ketika sidang parlimen pada 28 Februari lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa pembangkang tidak boleh dipersalahkan jika kerajaan persekutuan tumbang.

Ahli parlimen Marang itu kemudiannya pada 3 Mac mempertahankan kenyataan dibuatnya dan menggambarkan perubahan kerajaan adalah satu perkara biasa dalam politik.

Bagaimanapun, Anwar dalam sidang media pada 5 Mei lalu menyuarakan keyakinannya bahawa pentadbiran diterajuinya akan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang.

"Tunggu masa Parlimen, bawalah usul SD. Usul di parlimen tak ada masalah.

“Ini tiap-tiap minggu dia jadi macam mengigau mingguan - sebelum puasa, sebelum raya, lepas raya, sebelum raya haji, sebelum Thaipusam, tahun baru Cina.

"Insya-Allah, kita kerajaan perpaduan kekal penuh hingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa pembangkang mempunyai akuan berkanun (SD) yang mencukupi dan akan menamakan calon perdana menteri dalam masa terdekat.

Ini selepas pemimpin Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman mengeluarkan kenyataan seolah-olah PN telah mempunyai 126 sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan.

Negara sebelum ini berdepan dengan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali selepas PH tumbang melalui rampasan kuasa ‘Langkah Sheraton’.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin terpaksa meletak jawatan selepas 17 bulan pada Ogos 2021 manakala naib presiden Umno ketika itu, Ismail Sabri Yaakob pula membubarkan Parlimen selepas 15 bulan menerajui kerajaan.