Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan tersasul dalam satu ucapannya malam tadi dengan meminta pengundi di Ijok memastikan lawannya dari Barisan Nasional menang dalam pilihanraya kecil di situ Sabtu ini.

Bernama melaporkan beliau berkata: "Sekarang kita buat perubahan dan sekarang ialah masanya...dan saya berharap kita semua bersama-sama untuk membuat perubahan dan mengundi calon Barisan Nasional sebagai yang menang untuk Dewan Undangan Negeri Ijok. Terima kasih," katanya sebelum mengakhiri ceramah itu di Ladang Tuan Mee di Ijok yang merupakan kawasan majoriti penduduk India.

Kata-kata Abdul Khalid itu menimbulkan keriuhan dalam kalangan 150 orang yang hadir kerana beliau "mempromosikan" lawannya pada pilihanraya itu.

Menurut Bernama lagi, beberapa penyokong PKR yang menyedari perkara itu lantas melaung "Tan Sri tercakap salah, Tan Sri tercakap salah" kepada hadirin bagi membetulkan kenyataan.

Ini membuatkan hadirin terus ketawa manakala penyokong BN, yang turut mengikuti ceramah itu, bertepuk tangan.

Abdul Khalid, 61, bekas ketua pegawai eksekutif Permodalan Nasional Berhad dan pernah mengetuai syarikat perladangan milik kerajaan, Guthrie Berhad, seolah-olah tidak menyedari kesilapannya itu dan terus melambai kepada hadirin yang bersorak sebelum duduk di tempat yang dikhaskan di pentas.

Dalam pilihanraya itu, beliau berdepan dengan calon BN K Parthiban, 38, bekas seorang pendidik.

Dalam pilihanraya umum 2004, calon BN Datuk K.Sivalingan menang dengan kelebihan 1,649 undi mengalahkan calon Keadilan Abdol Rahman Moharam dan seorang calon Bebas.

Sivalingam, 59, yang juga anggota exco kerajaan negeri, meninggal dunia pada 4 April lalu.