Universiti Teknologi MARA (UiTM) sedang meneliti dakwaan 11,891 nombor kad pengenalan dan e-mel pemohon telah dibocorkan.

Akaun Twitter rasmi institusi itu mengesahkan pihak mereka ambil maklum mengenai dakwaan berkenaan dan meminta pengadu menghubungi mereka dengan maklumat lanjut yang berkaitan.

Ini selepas seorang pengguna Twitter menyiarkan dakwaan bahawa UiTM baru sahaja menerbitkan senarai hampir 12,000 nombor kad pengenalan dan e-mel pemohon sebagai pautan tidak selamat.

Menurut aduan itu, ini dilakukan bagi tujuan membenarkan calon menyemak butiran mereka.

Pada 2019, portal teknologi lowyat.net melaporkan bahawa sejumlah 1,164,540 rekod milik pelajar yang mendaftar untuk pelbagai kursus di UiTM antara 2000 dan 2018 telah dibocorkan dalam talian.

Data yang bocor itu didakwa termasuk rekod terperinci pelajar dari kampus induk UiTM di Shah Alam, serta 13 kampus negeri di seluruh negara.