Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Datuk Seri’ mengaku tak salah kes rasuah RM15j dikait bekas menteri KDN

Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini, atas empat pertuduhan rasuah yang menyebut nama bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin (gambar, bawah).

Sim Choo Thiam mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.

Mengikut empat pertuduhan rasuah, lelaki berusia 63 tahun itu dituduh melakukan kesalahan itu antara Jun (tarikh tertentu tidak disebut) dan 30 Julai 2021, sebagai dorongan untuk Hamzah Zazinuddin, yang ketika itu menteri dalam negeri semasa pentadbiran Perikatan Nasional, untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd untuk mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.

Sim dituduh meminta dan menerima rasuah daripada pengarah urusan Asia Coding Centre Hep Kim Hong, melalui seorang Syed Abu Zhafran Syed Ahmad.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, dengan Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak melebihi 20 tahun, serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah rasuah yang terlibat atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika tertuduh didapati bersalah.

Selepas Sim mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan dibacakan, Hakim Rozina Ayob menetapkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya serta melaporkan diri di ibu pejabat SPRM terdekat di Kuala Lumpur sebulan sekali.

Hakim juga menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, manakala Sim diwakili peguam Low Wei Loke, Hannah Kam dan Kee Wei Lon.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS