Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laskar siber kerajaan diarah masuk 'gear enam'
Diterbitkan:  May 11, 2023 10:18 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Setiausaha akhbar kanan kepada perdana menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah menyeru kumpulan laskar siber kerajaan perpaduan supaya membantu menyampaikan serta memberi penerangan kepada masyarakat di ruang maya berhubung dasar Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar Ibrahim.

Tunku Nashrul berkata dia turut meminta setiausaha akhbar (SUA) bagi setiap kementerian menjalinkan kerjasama dengan kumpulan laskar siber kerajaan pimpinan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam.

Katanya, ia penting khususnya bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Pesan saya kepada mereka (SUA) ialah untuk lakukan 'engagement' dengan laskar siber ini dengan lebih berskala besar kerana kita akan menghadapi PRN di enam negeri selepas ini.

"Tak boleh dah 'gear low' ni, kena 'gear lima', 'gear enam' untuk pastikan inisiatif kerajaan perpaduan dan untuk pastikan enam negeri nanti kita mampu lakukan yang terbaik.

"Saya menjemput abang dan kakak laskar siber semua ini untuk sama-sama membantu kami, membantu saya dengan memberi pandangan, input kalian cukup bermakna," katanya ketika berucap pada Majlis Silaturrahim Laskar Siber Kerajaan Perpaduan di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin.

Pertemuan ini kali pertama diadakan selepas Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk Kerajaan Perpaduan.



Gabungan ini memberi tumpuan kepada laskar siber dipercayai selepas melihat sokongan yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam usaha menarik sokongan pengundi dengan menggunakan media sosial.

PN dilaporkan telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menguasai media sosial khsusuSnya TikTok bagi menarik sokongan pengundi muda.

Dalam pada itu, Shamsul berkata usaha untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bukanlah mudah apatah lagi bagi seteru politik yang telah bertelingkah sejak sekian lama.

Gambar fail, Shamsul bersama Presiden BN Ahmad Zahid Hamidi.

Namun, katanya demi kepentingan negara "pemain politik" ini sanggup bertolak ansur dan berjiwa besar dengan mengenepikan persengketaan dalam membentuk pentadbiran bersama.

Menurut Shamsul, perdana menteri mewujudkan Malaysia Madani bagi mengikat kerjasama yang terjalin serta mewujudkan kestabilan kepada negara.

"Kenapa ada gagasan ini, kerana perdana menteri berharap gagasan ini dapat mengikat semua kumpulan-kumpulan yang bergabung di bawah kerajaan perpaduan.

"Sebab bukan mudah untuk ada ikatan ini dan rakyat akan tanya, tokoh politik akan tanya kenapa kita bergabung? Sebab kita mahukan kestabilan," katanya.

Lihat Komen
ADS