Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan tentukan pembahagian kerusi BN, PH di Kelantan dan T'ganu

Umno menyerahkan kepada kebijaksanaan timbalan presiden parti itu Mohamad Hasan untuk memutuskan pembahagian kerusi untuk Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas sambutan ulang tahun ke-77 parti itu malam ini, presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan yang dicapai itu nanti akan "diterjemahkan dengan sebaik-baiknya".

Terdahulu Ahmad Zahid ditanya mengenai peruntukan kerusi di antara Umno-BN dan PH bagi menghadapi PAS-PN di kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.

“Saya menyerahkan kebijaksanaan perundingan ini kepada timbalan presiden Umno dan juga timbalan pengerusi BN (Mohamad) untuk menentukan, dan bahawa kebijaksanaan itu diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Zahid, Umno-BN akan mendengar sebarang pandangan yang bakal diutarakan oleh PH berhubung pembahagian kerusi tersebut.

“Kita akan mendengar apa saja pandangan daripada mereka,” katanya apabila ditanya sama ada Umno akan mempertimbangkan peruntukan kerusi mereka di dua negeri itu.

Pada PRU14, PH gagal meraih sebarang kerusi di DUN Kelantan dan Terengganu.

BN pula menang lapan daripada 45 kerusi DUN di Kelantan dan 10 daripada 32 kerusi di Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS