Usul tak percaya Idrus hak Majlis Peguam - Azalina
Tindakan Majlis Peguam meluluskan usul tidak percaya terhadap Peguam Negara Idrus Harun merupakan hak badan berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Justeru, kata Azalina kerajaan mesti terbuka dalam menerima kritikan rakyat ataupun badan profesional seperti badan peguam berkenaan.
“(Malaysia) negara bebas. Saya, tak ada apa. Pada saya, hak masing-masing, persatuanlah. Kalau mereka percaya tu, percaya itulah, nak buat macam mana.
“Pada saya, kerajaan Malaysia Madani adalah kerajaan yang mengamalkan demokrasi dan kita mesti terbuka menerima kritikan daripada rakyat ataupun badan-badan profesional,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dewan Kejora Bandar Penawar, di Kota Tinggi hari ini.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata kerajaan Madani mestilah menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dan menekankan kepada aspek ketelusan dan akauntabiliti.
Azalina berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Majlis Peguam yang meluluskan usul tidak percaya terhadap Idrus ketika mesyuarat agung luar biasa (EGM) mereka dua hari lepas.
Pada EGM yang diadakan 10 Mei itu, Majlis Peguam meluluskan usul berkenaan atas alasan Idrus gagal mempertahankan badan kehakiman serta menegakkan kedaulatan undang-undang.
Mengikut laporan media, dengan usul berkenaan ia turut memberi mandat kepada Majlis Peguam memberikan notis kepada Idrus untuk membawa prosiding menghina mahkamah terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan terhadap badan kehakiman dengan serta-merta.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/2df37d0609d338b5541f991524c02f7e.jpg)
