Walaupun Barisan Nasional (BN) mencurah projek demi projek manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula menabur pelbagai janji, namun pengundi di Ijok mempunyai penilaian sendiri untuk memilih wakil rakyat mereka Sabtu ini.

Bagi mereka, pelbagai aspek perlu dilihat dan diambil kira, bukan hanya setakat janji manis sahaja tetapi turut meliputi kemampuan parti dan calon untuk berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa.

Peniaga kecil, Ismail Ali, 47, dari Kampung Jaya Setia berkata, orang kampung, terutama yang berpendapatan kecil, memerlukan wakil rakyat yang mengambil berat tentang kebajikan mereka, khususunya di saat berlaku kesusahan seperti banjir dan kebakaran.

Dalam pilihanraya kecil DUN Ijok, calon BN, K Parthiban dicabar oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR. Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk K Sivalingam pada 4 April lalu.

"Saya tidak terpengaruh dengan kempen, baik oleh BN atau PKR...kempen hanya seronok didengar, terutama yang menyentuh hal-hal peribadi," katanya.

Ismail mendakwa kempen secara agresif dan berunsur peribadi telah menyebabkan hubungan antara satu sama lain menjadi renggang, terutama yang terlalu fanatik kepada politik.

Kriteria calon

"Ada keluarga yang tidak sehaluan, ayah menyokong BN anak pula lebih kepada PKR. Ini yang berlaku sejak beberapa hari lalu," katanya.

Manakala isterinya, Rokiah Abdullah pula berkata, kriteria calon pilihannya bukan kerana umur muda atau tua, tetapi yang boleh berkhidmat kepada rakyat dan parti yang diwakilinya boleh dipercayai.

Mereka ditemui malaysiakini ketika berniaga di pasar malam Kampung Bukit Badong di Ijok malam tadi.

Rokiah, 49, membantu suaminya menjual belon di pasar malam di daerah Kuala Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Rokiah dan Ismail gembira kerana pelbagai kemudahan diberikan kepada penduduk Ijok sejak seminggu lalu.

"Kami mendapat jalan tar baru sepanjang kampung sehingga ke tepi tangga," katanya sambil ketawa.

Perkhidmatan bas

Seorang pengundi di Kampung Sungai Darah, R Nadarajan berkata, penduduk kampung masih memerlukan beberapa kemudahan asas yang belum disediakan.

Sehingga ini, katanya, belum ada perkhidmatan bas dari Batang Berjuntai ke Rawang walaupun sudah banyak kali permohanannya diajukan kepada wakil rakyat.

"Kami tidak mahu wakil rakyat yang tidak boleh membantu rakyat dan hanya pandai membuat janji sewaktu kempen pilihanraya," katanya.

Rakannya, R Letchumanan pula berkata, penduduk bukan mahu wang tetapi kemudahan asas, seperti dewan orang ramai yang belum ada walaupun kerajaan berjanji sejak sekian lama.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah berkata, pengundi India Kampung Sungai Darah suka dengan kerajaan tetapi mereka juga mengambilkira latar belakang calon sebelum membuat pilihan.

"Saya mahu wakil rakyat yang bekerja untuk rakyat dan bukannya yang berjanji boleh membuat segala-galanya tetapi selepas menang muka pun tidak nampak," katanya.