Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Konvensyen Kerajaan Perpaduan berlangsung hari ini

Tumpuan hari ini terarah ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang menghimpunkan perwakilan dan pemimpin daripada 19 parti yang membentuk kerajaan perpaduan bagi membina kerjasama lebih utuh pada masa depan.

Seawal 10 pagi, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan buat julung kali membuka tirainya menerusi Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, yang diadakan secara serentak.

Konvensyen Wanita akan memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani.

Sementara itu, satu jentera baru iaitu ‘Geng Perpaduan’ yang melibatkan semua sayap pemuda parti gabungan kerajaan ini akan dilancarkan sempena konvensyen itu bagi memperkukuh kerjasama dan mengatur gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Jentera itu merupakan platform baru buat pemuda dalam parti gabungan kerajaan yang dianggotai sayap Pemuda BN, PH, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan meneruskan agendanya pada pukul dua petang dengan ‘Bicara Rakyat’ oleh pemimpin-pemimpin parti kerajaan perpaduan bagi membicarakan mengenai komitmen dalam menyelesaikan isu rakyat termasuk ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep Madani dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Segmen itu terbahagi kepada tiga sesi iaitu Memperkasa Ekonomi Rakyat, Membina Negara Bangsa dan Malaysia Madani.

Kemuncak konvensyen bertemakan ‘Madani Mewajahi Masa Depan Malaysia’ itu bermula pada pukul 3.30 petang dengan amanat Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum berakhir dengan deklarasi konvensyen.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata konvensyen berkenaan diadakan bagi memastikan gerak langkah dan hala tuju yang seiring dalam memimpin negara antara parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan, selain bertujuan untuk menentukan pemikiran dan dasar yang sama antara parti.

Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata konvensyen itu amat penting dalam memberikan optik positif mengenai kestabilan politik negara sekali gus pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dia berkata konvensyen berkenaan bukan sahaja bakal mendapat perhatian pemerhati politik tempatan dan antarabangsa malah mampu membina keyakinan pelabur asing terhadap prestasi kerajaan di bawah kepimpinan Anwar.

-Bernama

Lihat Komen
ADS