Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melakukan lawatan mengejut ke Ijok petang tadi yang dianggap luar biasa kerana selama ini kempen Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam lawatan selama kira-kira dua jam itu, Abdullah bertemu penduduk di tiga lokasi sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Lima pilihanraya kecil telah diadakan selepas pilihanraya umum 2004 yang lalu dan Abdulah hanya hadir berkempen di Pengkalan Pasir di Kelantan pada 2005.

Dalam pilihanraya kecil itu, BN berjaya merampaskan kerusi tersebut daripada PAS dengan majoriti 134 undi sahaja, dan sekaligus mengurangkan kerusi kerajaan PAS di Kelantan kepada 23 kerusi berbanding 22 kerusi BN.

Sementara itu, penasihat PKR, Datuk Seri Abdullah Ibrahim berkata lawatan mengejut Perdana Menteri ke Ijok menunjukkan kempen BN dalam pilihanraya kecil di situ tidak berjalan lancar.

"Saya rasa beliau telah mendapat laporan bahawa keadaan mereka tidak baik dan Timbalannya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (Datuk Seri) Dr Mohd Khir Toyo (Menteri Besar Selangor) gagal memperolehi sokongan orang Melayu," katanya.

Sebelum penamaan calonnya, Umno bahagian Kuala Selangor telah menggesa BN negeri supaya meletakkan calon dari Umno bertanding di kerusi tersebut kerana orang Melayu merupakan pengundi majoriti di Ijok.

Bagaimanapun, ianya ditolak atas alasan kerusi tersebut telah menjadi kerusi tradisi MIC sejak dahulu lagi kerana jumlah pengundi India di situ adalah yang kedua teramai di Selangor.

'Pengundi Melayu faham'

Pemerhati politik baru-baru ini berkata undi Melayu beralih kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, 61, sebahagian besarnya kerana tidak puashati dengan wakil rakyat BN sebelum ini, Datuk Sivalingam.

"Jadi mereka terpaksa bergantung kepada beliau (Abdullah) dan personaliti beliau terutama di kalangan pengundi luar bandar," tambah Anwar.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata beliau agak terperanjat dengan sokongan tidak langsung bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada PKR.

Sementara itu, Abdullah menyuarakan keyakinannya bahawa pengundi Melayu faham mengapa calon keturunan India diletakkan bertanding di Ijok.

Dalam sidang akhbar di bilik gerakan MCA, Abdullah berkata, pengundi Melayu hanya mahu masalah mereka didengar.

"Setakat yang saya tahu, pengundi Melayu di Ijok faham apa yang perlu dilakukan dan kami tahu (mengenainya).

"Mereka mahu kita memahami masalah dan rasa tidak gembira mereka mengenai apa yang berlaku pada masa lalu. Saya fikir mereka sekarang yakin dengan calon kita dalam pilihanraya kecil ini.

"Saya percayak (calon BN, K) Parthiban akan menjadi calon yang baik bagi kita kerana lihatlah bagaimana dia menjaga adik beradiknya selepas ibu bapanya meninggal dunia...anda tidak boleh silap dengan karektor seperti ini," katanya.