Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB: Orang bukan Islam di Selangor masih dilarang guna kalimah Allah
Diterbitkan:  May 17, 2023 4:33 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini menegaskan orang bukan Islam di negeri itu masih tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

Dia berkata ia susulan titah oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2021, selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung perkara itu pada 2014 dan fatwa negeri pada 2010.

Larangan penggunaan kalimah Allah bagi orang bukan Islam di Selangor bermula sejak 1988 apabila Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) digubal.

Seksyen 9 enakmen itu melarang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan atau perbahasan tertentu yang bersumber Islam untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam.

Larangan di bawah enakmen itu hanya membabitkan apa-apa perkataan terbitan atau variasinya untuk menggambarkan unsur agama bukan Islam.

Satu-satunya pengecualian adalah untuk penggunaan sebagai sebahagian daripada petikan atau rujukan.

Seksyen itu membawa hukuman denda sehingga RM1,000 bagi mereka yang disabitkan kesalahan.

Senarai perkataan dan ungkapan yang dilarang itu termasuklah Allah, Mufti, Alhamdulillah, Insya-Allah dan Injil.

Kenyataan Amirudin itu susulan keputusan kerajaan yang menarik balik rayuannya berhubung kes penggunaan kalimah Allah.

“Ini bermaksud perkembangan ini tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri berhubung penggunaan kalimah Allah.

“Kerajaan negeri tegas melindungi kepentingan serta sensitiviti bahawa kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan yang telah dibina dan menjadi asas kepada Selangor.” katanya.

Lihat Komen
ADS