Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar cuai dakwa keputusan kes Jill Ireland hanya terpakai di Sarawak'
Diterbitkan:  May 17, 2023 9:19 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

PN menganggap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai cuai dalam kenyataannya berhubung isu rayuan penggunaan kalimah Allah.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, merujuk kepada kenyataan Anwar yang mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 dalam kes penggunaan kalimah Allah melibatkan penganut Kristian, Jill Ireland, hanya terpakai di Sarawak.

"Jelas, ini membuktikan perdana menteri seorang yang cuai, yang tidak meneliti keputusan mahkamah," kata Hamzah yang juga ketua pembangkang.

Hamzah menyorot bahawa rampasan lapan cakera padat (CD) Ireland berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang dan bukan di Sarawak, dan tiga relif certiorari, bukan hanya terhad kepada Sarawak.

Tambah ahli parlimen Larut itu, Anwar merupakan anggota kabinet pada 1986 bersama menteri kehakiman ketika itu James Peter Ongkili dan timbalan perdana menteri ketika itu Ghafar Baba, yang terlibat dalam Jawatankuasa Mengkaji Istilah/Perkataan Islam Di Dalam Al-Kitab Yang Tidak Boleh Digunakan pada 1986.

"Sepatutnya beliau (Anwar) lebih faham tentang sensitiviti serta mudarat lebih besar dengan tidak membuat kenyataan mengelirukan begitu," katanya.

Hamzah juga mempersoalkan sama ada kerajaan telah berunding dengan Raja-raja Melayu, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah sebelum keputusan menarik balik rayuan dibuat.

"Jelas, keputusan menarik balik rayuan ini membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak sensitif terhadap isu kalimah Allah, walhal perkara ini boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

"Saya berharap, penjelasan ini akan dapat meningkatkan kefahaman kita semua mengapa saya dan KDN pada waktu itu bersetuju untuk kes ini dirayu ke Mahkamah Rayuan," katanya lagi.

Hamzah menjadi menteri dalam negeri ketika kerajaan di bawah pentadbiran PN yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman oleh Ireland, seorang Kristian Melanau dari Sarawak, yang memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan agama dan pendidikan.

Kerajaan pada mulanya merayu terhadap keputusan itu, tetapi memberi notis pada 18 April tahun ini bahawa ia tidak akan meneruskan rayuan itu.

Anwar mempertahankan keputusan menarik balik rayuan itu dengan mengatakan ia hanya terpakai di Sarawak, dan berkata kerajaan akan membentangkan cadangan kepada Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penguatkuasaan penggunaan kalimah Allah.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dalam pada itu berkata rayuan itu ditarik balik selepas mendapati terdapat percanggahan antara keputusan kabinet pada 1986 dan perintah pentadbiran yang dikeluarkan KDN pada tahun yang sama.

Kata Saifuddin, kementerian kini sedang merangka arahan yang lebih menyeluruh mengenai isu-isu berkaitan penggunaan kalimah “Allah”, selain perkataan “baitullah”, “solat” dan “Kaabah”.

Lihat Komen
ADS