Zaid ingatkan Umno - nak lawan PAS kena berani
Umno mesti berani jika mahu berlawan dengan PAS yang semakin berani menunggang agama Islam untuk tujuan politiknya, kata bekas menteri Zaid Ibrahim.
“Taliban pun kata dia Islam, tetapi kita nak negara Islam macam mana?
“Kita nak macam Afghanistan ke? Macam Indonesia, atau macam Mesir?
“Tetapi di Kelantan, kita tak boleh tanya soal-soal sebegitu (kepada PAS), kerana Umno tidak berani berdialog dengan PAS mengenai perkara itu,” katanya dalam sebuah video di Facebook hari ini.
Menurut Zaid, ini kerana Umno takut dikatakan sebagai "menentang Islam."
PAS mendapat sokongan besar di kalangan pengundinya, termasuk golongan muda, yang tidak boleh membezakan antara agama dan politik, dan menurut Zaid terpulang kepada Umno/BN untuk menunjukkan perbezaan itu.
"PAS ini bernasib baik masa dia daftar parti dulu, masa itu British memerintah dan British tidak tahu apa itu parti Islam. Jadi mereka hanya luluskan pendaftaran itu.
"Tetapi apabila Umno berkuasa, Umno tidak berani tukar nama PAS. Kalau saya (berkuasa), saya bagi dia guna nama Islam kerana Islam adalah agama, dan PAS adalah parti politik," kata Zaid.
Memandangkan Umno hari ini adalah sebahagian daripada kerajaan campuran yang berkuasa, Zaid menyatakan bahawa mereka boleh menggesa Pendaftar Pertubuhan untuk memaksa PAS menukar namanya untuk memisahkan Islam daripada nama parti itu. PAS adalah singkatan bagi Parti Islam Se-Malaysia.
"Letaklah apa sahaja nama yang mahu, tetapi jangan gunakan Islam kerana itu agama. Dari dulu lagi kita (Umno) kalah dengan PAS kerana mereka tunggang agama, dan kita benarkan."
Zahis seterusnya menggesa golongan muda "menyoal" parti itu dan menuntut PAS menukar namanya.
“Memandangkan pilihan raya negeri akan datang, saya menggesa Umno dan PAS supaya lebih berani mengemukakan hujah yang kukuh untuk menentang naratif yang disebarkan oleh PAS.
"Apabila kita beritahu mereka (pengundi) bahawa PAS 'bukan Islam' dan pastikan parti itu tidak gunakan agama untuk tujuan politik, pengundi akan mula kembali kepada Umno," tegasnya.
/file/1154/bb827871eddd6998167b86e2f6eb9fb8.jpeg)
