PKR cabar Razman buktikan 'ada angka' untuk gugat kerajaan Perak
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, diminta membuktikan dakwaannya mengenai kewujudan cubaan menukar kerajaan negeri itu seperti yang dikatakannya baru-baru ini.
Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, berkata untuk membuktikan dakwaan itu Razman boleh berbuat demikian semasa pengundian memilih senator pada 25 Mei ini.
"Saya cabar Razman gunakan peluang semasa pengundian memilih senator pada Khamis ini untuk membuktikan dia ada angka semasa proses meluluskan usul memilih calon Dewan Negara bagi mewakili Perak nanti," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Muhamad Arafat berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Razman mengenai ada beberapa Adun kerajaan Perak mengadakan pertemuan dengannya baru-baru ini.
Media hari ini memetik Razman sebagai berkata dia diberitahu wujud cubaan menukar kerajaan Perak dan mengakui dia didatangi beberapa wakil rakyat kerajaan.

Pun begitu Razman yang dipetik Utusan Online berkata, dia tidak dapat memberikan sebarang bukti mengenai dakwaan tersebut serta status kesahihannya.
Bahkan dia mengumpamakan situasi tersebut seperti tindakan seseorang mahu mencuri dan dia tidak tahu apa yang ada dalam hati individu terbabit.
Mengulas lanjut, Muhamad Arafat yang juga Adun Hulu Kinta berdasarkan kenyataan dibuat Razman, jelas menunjukkan ketua pembangkang DUN Perak itu sengaja mahu mewujudkan persepsi kononnya kerajaan perpaduan di Perak tidak stabil.
Katanya dengan tindakan sebegitu pelabur-pelabur akan kurang yakin kepada kerajaan negeri dan ia akan memberi kesan kepada pembangunan, peluang pekerjaan serta ekonomi Perak.
Kesan akhirnya nanti, tambah Muhamad Arafat, akan ditanggung oleh rakyat sendiri.
"Rakyat Perak sedia maklum Razman sebagai 'pakar fitnah' kerana sebelum ini terbukti di mahkamah bahawa kenyataan-kenyataan beliau sebagai tidak benar, maka dalam perkara ini pun sudah tentu sama," katanya.
Menurut Arafat, kerajaan Perak pimpinan Muhamad Arafat Saarani Mohamad kini berada dalam keadaan kukuh dan jauh lebih stabil untuk memberi fokus kepada pemulihan ekonomi negeri.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/07/4bf2b16d81a72ecbc5ee3cbc314be61b.jpg)
