Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin mungkin lupa DAP bantu kemenangan di Pagoh - Loke

DAP menganggap Muhyiddin Yassin, terlupa betapa dia juga pernah mendapat manfaat daripada undi penyokong serta ahli parti berkenaan sehingga membantu ahli parlimen terbabit memenangi kerusi Pagoh.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata semasa Bersatu bersama-sama dengan PH, mereka berkempen untuk memenangkan Muhyiddin ketika dia bertanding dalam PRU ke-14 pada 2018.

"Dia (Muhyiddin) mungkin lupa dia pun pernah bersama dengan PH dan sudah tentu berkempen bersama-sama DAP.

"Begitu juga DAP pun berkempen untuk dia di kawasan Pagoh.

"Kalau bukan kerana pengundi PH yang memberikan undi kepada beliau, tidak mungkin dia menang semasa PRU 2018. Mungkin dia lupalah..." katanya.

Menteri Pengangkutan itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang menganggap janggal bagi Umno apabila pemimpin parti itu meminta ahli mereka mengundi DAP dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Gesaan itu dibuat bekas setiausaha agung Umno Ahmad Maslan.

Kata Ahmad, seruan itu dibuat kerana Umno-BN dan DAP-PH kini sama-sama berada dalam kerajaan.

Untuk rekod Muhyiddin menjadi ahli parlimen Pagoh sejak 2013. Ketika itu dia merupakan naib presiden Umno dan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 12,842 undi.

Biasanya akan kecewa

Apabila Muhyiddin diketepikan dari Umno ekoran krisis dalaman membabitkan dia dengan Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB, bekas menteri besar Johor itu bertanding sekali lagi di kerusi berkenaan pada 2018.

Dalam PRU berkenaan Muhyiddin dari Bersatu mewakili PH dan mengalahkan calon BN, Ismail Mohamad, dengan perbezaan 6,927 undi.

Apabila PRU ke-15 diadakan pada Non tahun lalu Muhyiddin sekali lagi mempertahankan kerusi Pagoh - kali ini untuk PN - dengan majoriti 10,007 undi.

Sementara itu mengulas gesaan Ahmad, Loke hari ini menjelaskan, tidak ada apa-apa yang janggal apabila ahli parlimen Pontian itu bertindak sedemikian kerana kedua-dua parti adalah kerajaan.

"Ia memang logik...apabila ada kerjasama (antara parti) sudah tentu parti-parti yang terlibat akan bekerjasama.

"Pemimpin DAP juga berkempen semasa PRN dan kami pasti akan menggesa ahli parti memberikan sokongan kepada calon Umno," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Muhyiddin bahawa PN akan mendapat sehingga 80 peratus undi dalam PRN tidak lama lagi, Loke berkata bekas perdana menteri itu berhak membuat apa saja ulasan.

"Dalam kempen pilihan raya, sesiapa sahaja boleh cakap besar, tetapi saya fikir biasanya sesiapa yang melakukan hal itu akhirnya akan kecewa," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS