Netflix perluas sekatan kongsi kata laluan di seluruh dunia
Netflix mengumumkan akan mengambil tindakan terhadap perkongsian kata laluan bermula di Amerika Syarikat dan 100 negara lain dengan memaklumkan kepada pengguna bahawa akaun mereka tidak lagi boleh dikongsi secara percuma.
Berdepan kemerosotan permintaan pasaran, pihak penstriman video itu mencari cara baru untuk menjana wang, termasuklah menghadkan penggunaan kata laluan dan memperkenalkan langganan murah dengan iklan.
Netflix menghantar makluman itu kepada pelanggan di 103 negara, termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Australia, Singapura, Mexico dan Brazil.
E-mel tersebut menyatakan bahawa akaun Netflix hanya boleh digunakan dalam satu isi rumah dan tambahan bayaran dikenakan jika ia dikongsi dengan pihak luar.
Sementara itu, Netflix Malaysia akan mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM13 sebulan untuk pihak luar yang berkongsi akaun.
Syarikat itu menganggarkan lebih 100 juta pengguna Netflix memberi akses akaun mereka kepada pihak luar.
Sehingga akhir Mac, pelanggan berbayar Netflix seramai 232.5 juta di seluruh dunia.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/09/bf3898249dad7868c46ca8b889af6a87.jpg)
