Setiausaha Agung Parti Hijau Abdul Razak Ismail memaklumkan dia telah menerima surat tuntutan berhubung beberapa hantaran di Facebook berkaitan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam.
Razak berkata dia diberi masa 72 jam untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik hantaran tersebut.
Ia selepas dia mendakwa projek tersebut tidak dikendalikan secara telus dan tanpa urus tadbir yang baik.
"Saya diserahkan surat tuntutan oleh peguam pada jam 3.10 petang tadi.
"Ia berkaitan dengan hantaran di Facebook yang disiarkan di beberapa portal dan akhbar berhubung projek meroboh dan membina semula stadium bola sepak Shah Alam yang ikonik, yang merupakan sebahagian daripada projek yang dinamakan Kompleks Sukan Shah Alam.
"Saya diberi masa 72 jam untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik hantaran tersebut," katanya dalam kenyataan.
Razak mendakwa hantaran yang dibuatnya hanya menyentuh kerajaan Selangor dan tidak merujuk syarikat yang membuat tuntutan tersebut.
Dia berkata akan menjawab surat tuntutan itu dalam tempoh 72 jam yang diberikan.
