Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Negara kurang bakat hingga PM terpaksa lantik MP PKR jadi bos GLC?'
Diterbitkan:  May 25, 2023 3:35 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Badan pemantau pilihan raya, Bersih mempersoalkan pelantikan ahli parlimen PKR, Wong Chen sebagai pengerusi bukan eksekutif syarikat milik kerajaan, Malaysia Debts Ventures Bhd (MDV).

Bersih dalam kenyataannya mempersoalkan keperluan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meneruskan amalan pentadbiran sebelumnya dengan membuat pelantikan politik di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Walaupun kami memuji Wong Chen menghadkan peranannya untuk tidak mempengerusikan lembaga jawatankuasa untuk pengurusan risiko, gaji, audit, dan pembiayaan serta pelaburan untuk meminimumkan sebarang konflik kepentingan, kami tertanya-tanya sama ada negara kita kekurangan bakat sehingga PM terpaksa melantik Wong Chen?" soalnya.

Bersih berkata walaupun Wong Chen telah melalui penapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pelantikan ini seharusnya ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan wakil rakyat perlu dielakkan sebagai calon bagi jawatan dalam GLC.

Bagaimanapun katanya, pengecualian boleh dibuat bagi badan berkanun utama yang memantau dan mengarahkan dasar kerajaan.

"Penapisan oleh JPKP akan memastikan hanya individu yang layak dilantik ke jawatan utama GLC dan badan berkanun kerana syarikat ini adalah penjaga kepada kekayaan awam, dan bukannya perniagaan swasta.

"Perdana Menteri kerajaan perpaduan perlu mengambil peluang ini untuk menamatkan lantikan politik yang berdasawarsa lamanya yang pada masa lalu menyebabkan korupsi dan/atau salah urus GLC-GLC ini.

"Jadikan proses lantikan ini terbuka dan telus agar rakyat Malaysia yang berkelayakan yang ingin berkhidmat untuk negara melalui GLC dan badan berkanun agar dapat memohon,” tambahnya.

Bersih berkata ia tidak mempersoalkan kelayakan atau kemampuan Wong Chen, bahkan menegaskan ahli parlimen Subang itu terbukti berkeupayaan dan telah dilantik untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan.

Sebaliknya badan itu memuji langkah Rafizi Rafizi mengumumkan agar calon berkelayakan memohon jawatan pengarah eksekutif di dua GLC di bawah kementeriannya.

"Pengumuman Menteri Ekonomi YB Rafizi Ramli supaya calon-calon berkelayakan memohon sebagai Pengarah Eksekutif untuk dua GLC di bawah kementerian beliau, Teraju dan Peneraju, perlu diteladani dan dikanunkan sebagai sebahagian daripada SOP melantik lembaga GLC dan syarikat berkanun,” jelasnya.

Terdahulu, Wong dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif MVD yang merupakan anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOF (Inc] dan sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ditubuhkan pada 2002, syarikat itu menyediakan kemudahan pembiayaan yang fleksibel dan inovatif untuk membangunkan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Lihat Komen
ADS