Tidak semua pihak termasuk, golongan pemerintah yang begitu prihatin dengan nasib dan pembelaan golongan pekerja di negara ini, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Sungguhpun mungkin tidak dinafikan bahawa taraf dan kedudukan pekerja di negara ini dilihat secara relatif lebih baik daripada negara-negara membangun lain, namun, ini tidak bermakna nasib dan kebajikan mereka boleh diabaikan begitu sahaja.

"Masih banyak ruang dan kelemahan yang harus diperbaiki dalam usaha membela nasib dan memberi keselesaan kepada golongan ini," katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja esok.

Lantaran itu, katanya, PKR sebagai sebuah parti yang sentiasa prihatin dan tidak terlepas pandang untuk membela nasib golongan pekerja menggesa pemerintah supaya memperkenalkan kadar gaji minimum golongan pekerja di negara ini.

Gaji minimum itu, katanya, hendaklah merangkumi sektor awam mahupun swasta, sekurang-kurangnya pada kadar RM1500 sebulan dan ke atas.

Selain itu, katanya, PKR juga mengesa serta menuntut beberapa perkara lain, antaranya:

Kemudahan cuti bersalin yang lebih panjang kepada pekerja wanita;

Jaminan perkhidmatan kesihatan percuma kepada semua pekerja dalam sebarang kes kesihatan, pengecualian kos pendidikan kepada anak pekerja yang berpendapatan sederhana-rendah; dan

Penyediaan kemudahan rumah mampu milik dan faedah-faedah lain yang memberi manfaat kepada para pekerja.

Kos saradiri

Kemudahan dan jaminan ini, katanya, diyakini dapat membantu mengurangkan kos saradiri dan meningkatkan keselesaan kepada golongan pekerja, khususnya yang berpendapatan sederhana-rendah.

"Ini sekaligus sebagai tanda penghargaan terhadap golongan pekerja yang menjadi penyumbang tenaga terbesar dalam menjanakan pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan dan memastikan kesinambungan perjalanan fungsi negara sejajar dengan misi dan wawasannya," katanya.

Sempena sambutan Hari Pekerja 2007, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan seluruh pemimpin, ahli serta penyokong PKR ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja 2007 kepada seluruh pekerja dalam setiap sektor di negara ini.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ucapan tahniah dan penuh penghargaan buat setiap pekerja di negara ini yang sanggup berkorban dan berjuang membangunkan negara tidak kira siang ataupun malam. Semoga jasa dan sumbangan anda semua akan dirahmati dan diingati," katanya.