Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembangkang mempunyai peluang berkempen seluas-luaskan sewaktu pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok minggu lalu.

Ia membuktikan bahawa demokrasi di negara masih hidup segar, katanya kepada pemberita di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama, Najib, yang juga Menteri Pertahanan, diminta mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang kononnya pilihanraya kecil itu tidak demokratik.

Mereka mendakwa, ia kerana banyak jentera kerajaan, termasuk polis ditugaskan sepanjang perjalanan pilihanraya kecil berkenaan.

Dalam pilihanraya itu, calon Barisan Nasional (BN), K Parthiban menewaskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan kelebihan 1,850 undi.

Najib berkata, seramai 1,200 anggota polis ditugaskan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam di Ijok sewaktu tempoh berkempen dan pembuangan undi Sabtu lalu.

Katanya, peraturan yang memerlukan pembangkang mahupun parti pemerintah mendapatkan permit untuk mengadakan ceramah semasa berkempen, juga membuktikan amalan demokrasi masih hidup segar di negara ini.

"Ini adalah undang-undang, kalau tidak hormat undang-undang polis akan mengambil tindakan," katanya.