Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peja salah, Hadi tak ada asas - Kit Siang
Diterbitkan:  May 26, 2023 11:28 AM
Dikemaskini: 3:28 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang membidas Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang mempertahankan kenyataan "retorik perkauman" Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Faizal sebelum ini berkata dia pasti Hadi mempunyai asas dalam kenyataan menyerang DAP dan orang bukan Melayu.

“Faizal sangat salah. Hadi tidak mempunyai asas dan itulah sebabnya dia tidak dapat membuktikan tujuh dakwaan liar dan tidak masuk akalnya terhadap DAP dan saya selama enam bulan,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata tiada pemimpin Islam yang bertanggungjawab, jujur dan dihormati menyebarkan dakwaan tanpa bukti selama enam bulan.

Lim juga bertanya bagaimana dia boleh menjadi "anti-Melayu, anti-Islam, anti raja, komunis dan mempromosikan Islamofobia" sedangkan Hadi dan pemimpin PAS lain yang mendekatinya pada 2014 untuk mencadangkan agar Pakatan Rakyat pada masa itu menggantikan Anwar Ibrahim dengan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perdana menteri bagi gabungan itu.

Dia juga berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin telah bertemu dengannya pada 2016 meminta sokongan DAP bagi menjadi perdana menteri, namun permintaan itu ditolak kerana DAP komited kepada Anwar sebagai calon perdana menteri mereka.

“Adakah saya menjadi anti-Melayu, anti-Islam, antiraja, komunis dan mempromosikan Islamofobia kerana DAP dan saya tidak bersetuju pada 2014 bahawa Hadi menjadi perdana menteri atau pada 2016 bahawa Muhyiddin menjadi perdana menteri?” soalnya.

Jika Hadi benar-benar percaya dengan kenyataannya, Lim berkata beliau sepatutnya membuat laporan kepada Balai Cerap Islamofobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atau membangkitkan dakwaannya terhadap DAP di Parlimen.

Lim berkata Malaysia dikategorikan sebagai negara "kurang terpolarisasi" dengan perpecahan yang mendalam dalam Laporan Global Barometer Edelman Trust 2023 dan oleh itu, usaha mesti diambil untuk memastikan negara tidak menjadi sangat berpecah.

“Kita tidak boleh membenarkan pemimpin yang tidak bertanggungjawab seperti Hadi menjerumuskan Malaysia ke dalam tiga kategori lain di mana polarisasi menjadi teruk dengan perpecahan yang berakar umbi.

“Inilah sebabnya kerajaan mesti mengambil tindakan tegas terhadap Hadi kerana kenyataan melulunya yang dikira mengganggu dan mempolarisasi keamanan kaum dan toleransi agama di Malaysia,” katanya.

“Apa perkara yang disebut oleh Haji Hadi terhadap DAP datang daripada pengalamannya sendiri yang pernah bekerjasama dengan DAP. Saya juga pernah bekerjasama dengan parti itu.

“Setiap orang ada pandangan masing-masing dan pandangan itu datang daripada pengalamannya sendiri,” katanya semasa wawancara bersama Malaysiakini pada Isnin lalu.

Faizal diminta memberi pandangan berkenaan kenyataan-kenyataan Abdul Hadi yang dilihat menyerang DAP dan orang bukan Melayu.

Antaranya ahli parlimen Marang itu dilaporkan berkata golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera merupakan golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara dan mendakwa DAP bersikap anti-Islam, serta meletakkan calon-calon Melayu yang berfahaman "liberal, sekular, oportunis dan jahil agama" dalam pilihan raya.

"Perkara itu tak boleh diterima, (tapi) tentunya dia ada asas mengapa dia sebut perkara-perkara itu dan saya sendiri pula nak menyatakan adakala memang DAP seolah-olah terlalu menjuarai masalah ataupun isu sesuatu kaum sahaja,” kata Faizal.

Akhir tahun lalu, Hadi melancarkan beberapa serangan terhadap DAP, menuduh parti itu Islamofobia dan pro-komunis.

Presiden PAS itu juga membuat dakwaan kontroversi bahawa bukan Islam dan bukan bumiputera merupakan sebahagian besar daripada "akar rasuah" di Malaysia.

Ahli politik Pakatan Harapan (PH) berulang kali membuat laporan polis terhadap dakwaan Hadi yang mereka dakwa sebagai provokatif dan boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Lihat Komen
ADS