Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki tidak bersalah akhirnya dibebaskan selepas 3 dekad dalam penjara

GLOBAL | Seorang lelaki dari Baldwin Park di Los Angeles, Amerika Syarikat dibebaskan dari penjara negara awal bulan ini selepas pendakwa raya dan pegawai parol menemukan bukti menunjukkan dia tidak bersalah dalam kejadian tembakan pada 1989, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pegawai pada Jumaat.

Daniel Saldana, 55, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun pada 1990 setelah disabitkan dengan cubaan membunuh dalam kejadian tembakan ke atas enam pelajar sekolah menengah Baldwin Park yang disangka sebagai ahli kumpulan, selepas perlawanan bola sepak, menurut Peguam Daerah Daerah Los Angeles George Gascón. Dua daripada pelajar itu cedera.

Saldana, Raul Vidal dan April Gallegos semuanya disabitkan dengan enam pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan menembak ke arah kenderaan yang terdapat penumpang. Bagaimanapun, Saldana tetap mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan berkata dia tidak berada di tempat kejadian.

Menurut Gascón, pada 2017, Vidal memberitahu lembaga parol negeri bahawa dia bertanggungjawab ke atas tembakan itu dan Saldana tidak berada di tempat kejadian, namun maklumat itu tidak dimaklumkan oleh pendakwaraya Daerah Los Angeles kepada Saldana atau peguambelanya.

Bagaimanapun, pada Februari, lembaga parol menyerahkan transkrip pendengaran itu kepada Unit Integriti Sabitan Pejabat peguam daerah yang melancarkan siasatan dan akhirnya pejabat itu mengemukakan usul bersama dengan Saldana supaya sabitannya dibatalkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles William Ryan membenarkan keputusan tidak bersalah pada 11 Mei.

Saldana berusia 22 tahun ketika ditangkap dan bekerja dalam sektor pembinaan semasa kejadian itu dan tidak mengetahui mengapa dia dikaitkan dengan jenayah itu.

Gascón enggan mengulas mengenai bukti lain yang digunakan untuk mensabitkan Saldana kerana dia berkata pendakwa raya masih menyiasat sama ada orang lain mungkin bersalah dalam kes itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS