Sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Jepun menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengarahkan siasatan dijalankan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Dalam sepucuk surat yang difaks kepada Perdana Menteri Jumaat lalu, badan tersebut berkata mereka memandangkan berat ancaman Taib untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap malaysiakini dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) serta 'para sahabat Jepun di seluruh dunia'.

Taib mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap malaysiakini yang melaporkan artikel-artikel yang mendakwa beliau terbabit dalam skandal rasuah RM32 juta, yang dibayar oleh firma-firma perkapalan Jepun bagi mengimport balak dari Sarawak.

Artikel-artikel tersebut adalah susulan kepada laporan dalam akhbar Japan Times pada 29 Mac lalu.

Antara mereka yang menandatangani surat tersebut ialah Jawatankuasa Kempen Sarawak di Jepun (SCC), Sahabat Alam Jepun (FOEJ), Jawatankuasa Bertindak Hutan Tropical Jepun (Jatan), Gabungan Rakyat Jepun bagi Dekad Antarabangsa PBB untuk Penduduk Asal Dunia (Indec), Rangkaian Jepun bagi Hak Asasi di Malaysia, Pusat Sumber Asia Pasifik (PARC), Kumpulan Perlindungan Hutan Kepulauan Solomon dan New Guinea serta Forum Alam Sekitar Global.

Laporan Media

"Kami difahamkan bahawa tuduhan rasuah terhadap Taib itu berasal daripada satu laporan dalam akhbar Japan Times pada 29 Mac, bahawa sembilan firma perkapalan Jepun yang mengangkut balak dari Sarawak, telah gagal melaporkan mengenai kira-kira 1.1 bilion yen (kira-kira RM32 juta) yang telah dibayar kepada Regent Star syarikat ejen yang berpejabat di Hong Kong yang ada kaitan dengan Taib dan keluargannya dalam tempoh tujuh tahun sehingga Mac lalu," kata surat tersebut.

Mengikut laporan akhbar Japan Times , Biro Percukaian Wilayah Tokyo mendapati bayaran tersebut adalah rebet dan bukan perbelanjaan yang sah. Biro itu dijangka mengenakan bayaran lebih 400 juta yen dalam bentuk cukai tertunggak dan denda terhadap firma-firm perkapalan terbabit.

Akhbar Yomiuri Shimbun juga melaporkan mengenainya dalam satu artikel pada 28 Mac lalu.

Surat kepada Abdullah itu juga menyebut bahawa edisi Inggersi Asahi Shimbun melaporkan pada 28 Mac lalu bahawa Biro Percukaian Jepun telah mengarahkan Kansai Line Co membayar 50 juta yen cukai tunggakan dan denda kerana memalsukan bayaran, termasuk 130 juta yen yuran 'orang tengah' kepada Regent Star selama tujuh tahun sehingga Disember 2005, dalam log kos mengangkut di pelabuhan di Sarawak, bagi menyembunyikan bayaran tersebut daripada diketahui.

Edisi bahasa Jepun Asahi Shimbun melaporkan pada 27 Mac lalu bahawa firma-firma yang menganggotai kartel Perjanjian Perkhidmatan Pengangkutan Nanyozai (NFA) dipercayai telah membayar lebih AS$25 juta (kira-kira 2.5 bilion yen) dalam bentuk yuran orang tengah kepada Regent Star selama 10 tahun sehingga 2005.

Sumber-sumber industri telah dipetik sebagai mengakui bahawa "terdapat persafahaman bahawa ianya adalah bayaran kepada keluarga ketua menteri, dan pada dasarnya, merupakan rasuah".

Menurut artikel itu lagi, NFA mengaku telah menandatangani perjanjian dengan Dewaniaga Sarawak (DNS) pada 1981 mengenai balak yang dieksport ke Jepun, dan ia telah diarahkan oleh DNS membayar yuran orang tengah kepada Regent Star di Hong Kong.

Bayaran tersebut dikatakan berterusan selama 26 tahun sejak 1981 bermula dengan kadar kira-kira AS$1.50 satu kubik meter balak yang diangkut, dan kemudiannya meningkatkan kepada kadar sekarang AS$3.28, manakala jumlah balak yang diangkut merosot daripada 3.8 juta m3 pada waktu kemuncaknya pada 1990 kepada kira-kira 410,000 m3 pada 2005.

Laporan tersebut menganggarkan bahawa purata satu hingga empat juta dollar setiap tahun berjumlah AS$25,250,000 telah dibayar kepada Regent Star antara 1996 hingga 2005.

Artikel itu juga memetik sumber-sumber industri yang mendakwa Pengarah DNS, Onn Mahmud adik ketua menteri kadang-kadangnya turut serta dalam rundingan mengenai yuran orang tengah antara Regent Star dengan NFA.

Beri penjelasan

"Berdasarkan laporan di atas, maka adalah jelas sekali bahawa dakwaan yang dibuat terhadap Taib oleh malaysiakini dan PKR Sarawak, bukanlah berasarkan kepada khabar angin, tetapi berdasarkan maklumat yang dilaporkan secara konsisten oleh beberapa akhbar utama Jepun," kata surat yang dihantar kepada Abdullah itu.

Tambahnya: "Sebagai pertubuhan yang berfungsi untuk kepentingan awam, malaysiakini dan PKR hanyalah menggunakan kebebasan bersuara mereka dan menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyedarkan rakyat dan pihak berkuasa mengenai maklumat yang membimbangkan itu, yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan. Malah, mereka akan mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat, jika mereka tidak berbuat demikian.

"Jika mereka terus berdepan dengan ancaman tindakan undang-undang kerana didakwa membuat fitnah, maka bagaimanakah rakyat boleh memainkan peranan aktif dalam menghapuskan rasuah? Ketua Menteri itu boleh memberi penjelasan yang jelas (mengenai dakwaan itu) daripada membuat ancaman (seumpama itu)? Dan jika beliau tidak bersetuju dengan dakwaan dalam laporan tersebut, mengapa tidak bertanyakan kepada sumber-sumber mereka di Jepun dan pihak berkuasa percukaian Jepun, dan bukannya rakyat Malaysia yang hanya membawa perkara itu kepada pengetahuan awam," katanya

NGO Jepun itu berkata, Abdullah mesti mengarahkan BPR supaya menyiasat dakwaan tersebut.

"Pertubuhan Sivil Jepun akan menggesa pihak berkuasa percukaian Jepun supaya bekerjasama dengan Malaysia dalam siasatan tersebut, untuk mendedahkan kebenarannya," tambah mereka.

PKR Sarawak telah membuat dua laporan polis mengenai perkara itu pada 13 April lalu satu di balai polis Kuching Tengah dan satu lagi dengan BPR di Kuching. Berita asal