Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jalan RM480 juta tak akan selesaikan kesesakan di Cameron'

Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) meminta kerajaan membatalkan cadangan membina jalan baru bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

Bercakap kepada Malaysiakini, presidennya Dilip Martin berkata keputusan kerajaan membina jalan baru dari Habu ke Tanah Rata bernilai RM480 juta itu tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

"Kami terkejut dengan keputusan kerajaan bercadang membina jalan baru dari Habu ke Tanah Rata berikutan kesesakan jalan raya yang telah menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong.

Gambar Hiasan - Cameron Highlands

"Ini kerana, titik utama kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands adalah bermula Tanah Rata menuju ke (pasar) Kea Farm dan bukannya dari Tanah Rata ke Habu. Jadi, kami percaya pembinaan jalan baru ini tidak akan menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dan satu lagi projek kroni untuk pihak tertentu," katanya.

Dia juga meminta Kementerian Kerja Raya turun ke lapangan dan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya dan agensi-agensi yang berkaitan untuk mendapatkan penyelesaian muktamad berhubung isu itu.

Dia berkata demikian memetik sesi soal jawab Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat pada 25 Mei berhubung isu kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui.

Dalam jawapan tersebut, kementerian berkata selain membina jalan baru bernilai RM480 juta, kerajaan juga meluluskan RM142.92 juta untuk projek menaik taraf jalan dari bulatan McDonalds ke persimpangan Brinchang dan membina One Way Loop di Pasar Kea Farm.

Gambar Hiasan - Cameron Highlands

Bagaimanapun, Dilip berkata projek naik taraf jalan itu tidak akan mengatasi isu lalu lintas di pusat peranginan itu.

"Bagaimana kamu nak naik taraf jalan di Brinchang atau Kea Farm, pada hal kamu juga memberi kelulusan membuat pasar agro di tepi jalan di kawasan yang sama.

"Jangan salahkan pelancong. Saya selaku anak tempatan di sini, boleh mengesahkan ketiadaan tempat parkir dari Tanah Rata sampai ke Kea Farm dan kelulusan gerai baru di tepi jalan adalah punca utama kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

"Ini yang patut diberi perhatian, bukan pembinaan jalan baru dari Habu yang tidak kena mengena dengan isu lalu lintas ini,” katanya.

Sementara itu, Dilip juga meminta kerajaan menghidupkan semula projek Business Park di Cameron Highlands.

Gambar Hiasan - Cameron Highlands

"Pada 2012, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) memperuntukkan RM30 juta untuk pembinaan Business Park di Cameron Highlands.

"Di bawah projek ini, semua gerai tepi jalan dipindah ke Business Park tersebut bersama-sama kemudahan-kemudahan lain seperti parkir kereta bertingkat, surau,tandas, gerai makanan, tempat parkir bas dan lain-lain kemudahan.

"Tapi, projek ini tidak dijalankan setelah RM3 juta dibelanjakan untuk kajian tanah. Harap projek ini dapat dikembalikan untuk mengatasi isu kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands," katanya.

Lihat Komen
ADS