Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gaduh di Tampoi: Polis tahan 12 orang, nafi pembabitan kongsi gelap
Diterbitkan:  May 30, 2023 4:46 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Polis telah menahan seramai 12 individu setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang berlaku di Tampoi di Johor, pada 27 Mei lepas.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 17 hingga 35 tahun, lapor Bernama.

“Sehingga hari ini kita telah tahan 12 orang yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut. Setakat ini juga hanya seorang yang masih menerima rawatan di hospital kerana mengalami beberapa kecederaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Johor di Johor Bharu, hari ini.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan kes pergaduhan di Tampoi, Sabtu lalu yang turut tular di media sosial menerusi video selama 28 saat.

Menurutnya pihaknya masih menyiasat punca pergaduhan dan tindakan tegas akan diambil terhadap dalang insiden itu.

Dia juga menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Kamarul seperti dipetik Sinar Harian menafikan penglibatan kongsi gelap dalam insiden pergaduhan berkenaan.

"Tak ada (kongsi gelap) dan kita masih menyiasat punca pergaduhan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap dalangnya dan kita juga meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut," katanya.

Baru-baru ini tular video berdurasi 28 saat di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu.

Pergaduhan itu dikatakan berpunca akibat tindakan seorang pelajar membaling pemadam pensil kepada pelajar lain sebelum terjadinya pergaduhan antara mereka.

Insiden berkenaan kemudian berlarutan di luar sekolah apabila salah satu pihak daripada pelajar berkenaan memanggil individu dari luar sekolah untuk terlibat sama dalam pergaduhan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 365 dan Seksyen 385 kanun sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS