Rakyat Malaysia mengambil inisiatif untuk memastikan ahli-ahli Parlimen menjalankan tanggungjawab mereka dalam proses penggubalan undang-undang, dengan menganjurkan forum untuk membolehkan rakyat biasa menemui wakil rakyat mereka.

Mulai sekarang sehinggalah pilihanraya umum akan datang, 'Parlimen Rakyat' ini akan memudahkan rakyat mengenali ahli Parlimen mereka bagi menyampaikan masalah masing-masing.

Parlimen Rakyat ini diilhamkan oleh aktivis hak asasi manusia serta peguam terkemuka, Haris Ibrahim, yang turut terbabit dalam kes-kes mengenai kebebasan agama, seperti kes Lina Joy, S Shamala, R Subashini serta kes murtad di Terengganu.

Haris berkata, idea di sebalik pergerakan tersebut ialah untuk membolehkan rakyat bersatu agar suara mereka lebih berkesan, khususnya dalam suasana politik yang membimbangkan sekarang.

"Perdana Menteri telah membuat pelbagai janji sebelum pilihanraya umum lalu... Beliau tidak menunaikan janji-janjinya. Lebih buruk lagi, terdapat kemerosotan yang membimbangkan dalam hubungan kaum, soal ketuanan yang dibangkitkan di dalam dan di luar Parlimen oleh wakil rakyat Umno dan para menteri, serta pendakwaan agama yang menjadikan negara ini seperti sebuah negara Taliban," katanya.

Rakyat Malaysia yang terbabit dalam usaha terbaru ini telah menubuhkan apa yang mereka namakan Liga Pengundi.

Ia kemudiannya akan berusaha mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan parti-parti kerajaan serta menyerahkan senarai ahli Parlimen yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

Haris juga mempunyai lamanweb yang menyediakan maklumat mengenai bagaimana rakyat dapat memastikan wakil rakyat mereka memenuhi tanggungjawab masing-masing. Berita asal