NGO Alam Sekitar Rimba Watch telah menulis surat kepada UNESCO untuk memaklumkan mengenai rancangan untuk mewujudkan 'ladang hutan' berhampiran Tasik Chini, yang NGO itu percaya boleh membahayakan Rizab Biosfera Chini.

Rizab Biosfera Tasik Chini ialah sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia Unesco - yang merupakan tapak untuk pemuliharaan biodiversiti.

Rizab biosfera dicadangkan oleh kerajaan dan sekiranya diiktiraf, ia akan menjalani semakan berkala oleh Unesco.

Dalam surat kepada Unesco bertarikh 31 Mei, Rimba Watch berkata ia telah melihat dokumen yang menyatakan bahawa sebahagian daripada Hutan Simpan Chini akan ditukar menjadi ladang hutan monokultur.

Dokumen itu adalah surat daripada perunding penilaian kesan alam sekitar, Eco Synergy Solutions Sdn Bhd kepada komuniti Orang Asli di kawasan itu, bagi menjemput masyarakat itu untuk memberi maklum balas mengenai rancangan untuk ladang berkenaan.

NGO itu berkata kawasan yang dicadangkan untuk penukaran itu adalah di sempadan Rizab Biosfera Unesco dalam Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini, yang terdiri daripada Zon Teras Tasik Chini, Zon Penampan dan Zon Peralihan.

"Selanjutnya, di bawah draf pindaan Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini, projek yang dicadangkan adalah secara terus dalam kawasan yang dijangka menjadi Zon Pinggiran Biosfera 1 dan 2," kata pengarah NGO itu Adam Farhan.

Justeru, NGO itu menggesa Unesco mendapatkan penjelasan mengenai komitmen kerajaan dalam melindungi dan menambah baik Rizab Biosfera daripada kemerosotan selanjutnya.

Terdahulu, Jabatan Perhutanan Pahang berkata projek perladangan hutan itu tidak menjejaskan zon teras atau penampan, dan terkeluar daripada Rizab Biosfera.

“Mereka tidak menafikan cadangan itu melibatkan Hutan Simpan Chini,” kata Adam.

Dia juga menegaskan bahawa Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tidak menganggap penukaran hutan simpan kepada ladang monokultur sebagai penebangan hutan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan kemerosotan Rizab Biosfera akibat perlombongan di kawasan itu.

Berikutan itu, kerja-kerja perlombongan telah digantung tetapi jentera berat tetap berada di situ, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan bahawa operasi berkenaan akan disambung semula.

Masyakarat Orang Asli tempatan juga menghadapi masalah bekalan air kerana tasik berkenaan masih tercemar.