Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB Johor saran laluan kontra atasi kesesakan luar biasa ICQ BSI, KSAB
Diterbitkan:  Jun 3, 2023 10:59 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mencadangkan laluan kontra diwujudkan bagi mengatasi kesesakan luar biasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Iskandar Puteri (KSAB).

Onn berkata kesesakan luar biasa sejak semalam itu berlaku berikutan musim cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu.

"Petang semalam sahaja (1 Jun) lebih 258,000 orang pengembara menggunakan laluan BSI, dan 63,000 orang pengembara lagi menggunakan laluan KSAB.

"Bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, saya telah meminta pengurusan BSI dan KSAB untuk mempertimbangkan agar laluan kontra dibuka khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam, terutama sekali sewaktu musim cuti sekolah atau cuti panjang," katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Menurutnya, laluan kontra tersebut boleh diaktifkan bagi pergerakan masuk (inbound) dan keluar (outbound) dari negara ini dalam tempoh tertentu, seperti musim cuti sekolah atau musim perayaan.

"Saya juga memohon agar pegawai Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk terus memastikan kelancaran aliran trafik keluar dan masuk ke negara ini,” katanya.

Dia yang turun padang bagi meninjau kesesakan di CIQ BSI semalam turut meminta pengguna Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) merancang perjalanan terlebih dahulu supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Terdahulu, beberapa keping gambar kesesakan di CIQ BSI tular di media sosial memaparkan orang ramai beratur panjang untuk memasuki bangunan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS